30 penduduk hilang tempat tinggal rumah teres terbakar

Hangus sama sekali, salah sebuah rumah yang tidak dapat diselamatkan dalam kejadian di perumahan Kampung Gong Limau, Kemaman
Hangus sama sekali, salah sebuah rumah yang tidak dapat diselamatkan dalam kejadian di perumahan Kampung Gong Limau, Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Kira-kira 30 penduduk hilang tempat berteduh selepas enam buah rumah teres kos rendah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Gong Limau di sini petang Khamis.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu.

Ketua Zon Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM, Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada salah sebuah rumah di deretan 20 buah rumah teres itu sebelum merebak ke rumah bersebelahan.

Menurutnya, ketangkasan 22 anggota dan pegawai bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai dibantu BBP Kemaman, Kijal dan Bomba Sukarelawan Felda Seberang Tayor, di sini bagaimanapun berjaya menyelamatkan 14 buah rumah lagi daripada terbakar.

"Ketika tiba di lokasi, kita dapati empat buah rumah sedang terbakar dan api merebak ke dua buah rumah lagi sebelum kita berjaya mengawal kebakaran.

"Kebakaran di rumah teres ini cepat merebak disebabkan struktur rumah yang tiada pemisah dan bumbung saling bersambung antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya mengambil masa hampir sejam untuk mengawal api daripada terus merebak dan operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada jam 6.30 petang.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, namun pihaknya telah mengenalpasti sebuah rumah yang menjadi punca bermulanya kebakaran.

Artikel Berkaitan:

"Kami difahamkan rumah yang terlibat ini telah dibina lebih 20 tahun lalu dan pembinaannya tidak ada dinding pengasingan antara sebuah rumah dengan rumah yang lain.

"Jadi, apabila berlaku kebakaran, api boleh merebak dengan cepat dan hanya beberapa saat sahaja jika ditambah dengan faktor angin kuat," katanya.

Salah sebuah rumah yang hangus 20 peratus sebelum diselamatkan anggota bomba bertugas pada Khamis.
Salah sebuah rumah yang hangus 20 peratus sebelum diselamatkan anggota bomba bertugas pada Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan berbincang dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk terlibat.

"Buat masa ini, kesemua mangsa terlibat akan ditempatkan di Dewan Sivik Gong Limau dan JKM akan sediakan kubikel, selimut dan bantal untuk keselesaan mereka.

"Saya juga akan berbincang dengan pihak MAIDAM untuk menyewa rumah bagi tempat tinggal sementara penduduk dan kita juga akan melihat bentuk bantuan lain sama ada untuk membantu baik pulih rumah bergantung atas nasihat Bomba sama ada rumah tersebut masih selamat untuk didiami atau sebaliknya," katanya yang turut turun padang membantu penduduk terlibat.

Dalam kejadian berasingan di Kampung Batu 48, Dungun, seorang warga emas berusia 67 tahun dan lumpuh nyaris maut selepas rumah sewa didiami bersama lima lagi ahli keluarganya musnah, dalam kebakaran petang pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.25 petang itu, difahamkan wanita yang lumpuh separuh badan akibat penyakit angin ahmar sejak lapan bulan lalu itu tinggal berseorangan semasa kejadian.

Azman berkata, mangsa bernasib baik apabila sempat diselamatkan anak lelakinya yang baharu pulang daripada membeli makanan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.35 petang dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan sembilan anggota serta sebuah jentera.

"Operasi pemadaman turut dibantu dari BBP Paka dengan kekuatan lapan anggota dan dua jentera.

"Struktur binaan yang diperbuat daripada kayu keseluruhannya menyebabkan api marak dengan cepat dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.00 petang," katanya sambil memaklumkan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.