Dua lelaki pandu bot secara merbahaya positif dadah

Bot pelancong yang ditahan polis daerah Mersing di perairan berhampiran Pulau Rawa di sini pada Rabu
Bot pelancong yang ditahan polis daerah Mersing di perairan berhampiran Pulau Rawa di sini pada Rabu
A
A
A

MERSING - Polis menahan dua lelaki selepas didapati mengendalikan bot secara berbahaya dan positif dadah ketika rondaan di perairan Mersing berhampiran Pulau Rawa di sini pada Rabu.

Suspek berusia 22 dan 26 tahun yang dipercayai tekong dan awak-awak itu ditahan pada jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, ketika ditahan bot dinaiki kedua suspek itu turut membawa lima penumpang.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bot pelancong itu turut dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Laut Mersing untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengusaha bot supaya menjaga keselamatan penumpang bot dan mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh agensi kerajaan.

“Tambahan pula kini adalah musim monsun yang melanda pantai timur semenanjung Malaysia termasuk perairan Mersing, jadi pengendali bot-bot kecil dan nelayan pesisiran pantai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan aktiviti di laut,” katanya.

Artikel Berkaitan: