MBSA perhebat operasi pecah tanjakan,kesan pemilik premis degil

MBSA perhebatkan operasi pecah tanjakan.
MBSA perhebatkan operasi pecah tanjakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempertingkatkan operasi pecah tanjakan dan mengesan premis yang menyalahgunakan tempat letak kereta tanpa kebenaran.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, operasi ini diadakan untuk mengesan dan menangani masalah pemilik premis perniagaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran MBSA.

"MBSA terus melaksanakan operasi memecah tanjakan di kawasan MBSA pada 27 Februari dan 28 Februari 2019 bertempat di Jalan Pahat 15 H, Seksyen 15 dan Jalan Kemuning Prima F, Seksyen 33 Shah Alam.

"Sebanyak 14 premis dikenakan tindakan kerana membina tanjakan tanpa kebenaran, enam tanjakan telah dipecahkan, enam kompaun dan lima notis telah dikeluarkan dalam operasi tersebut," katanya.

Pihaknya menggunakan sebuah jentera ‘excavater’ untuk menanggalkan tanjakan tersebut.

"Operasi ini melibatkan 15 kakitangan daripada Seksyen Pengurusan Hasil Jabatan Kewangan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Bangunan.

"Penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi ini diadakan untuk mengesan dan menangani masalah pemilik premis perniagaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran pihak MBSA.
Operasi ini diadakan untuk mengesan dan menangani masalah pemilik premis perniagaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran pihak MBSA.

Menurutnya, MBSA telah mengenal pasti 21 kategori perniagaan yang boleh memohon sewaan tempat letak kereta khas untuk tujuan perniagaan.

"Antaranya kedai membaiki kereta / motosikal, kedai menjual aksesori kereta, motosikal, kedai menjual perabot, klinik, ruang pameran kereta, motosikal, pasaraya / kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang dan sebagainya.

"MBSA memohon agar pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan untuk membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu daripada pihak MBSA sebelum menggunakan tempat letak kereta tersebut untuk tujuan perniagaan," katanya.

Tegasnya, tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan dan kompaun akan dikenakan kepada pemilik premis yang ingkar dan membina tanjakan haram di hadapan premis mereka.

"Sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1477, 1657 dan 1658," katanya.