Waspada serangan Jordan

Skuad Harimau Malaya bakal membuat perhitungan dengan Jordan pada Rabu malam. FOTO: FB FAM
Skuad Harimau Malaya bakal membuat perhitungan dengan Jordan pada Rabu malam. FOTO: FB FAM
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe meminta barisan pemainnya berwaspada dengan serangan Jordan ketika kedua-dua pasukan berentap dalam aksi persahabatan di Stadium King Abdullah II, Amman pada Rabu malam.

Sedar kualiti serangan yang dimiliki Jordan, Cheng Hoe mengingatkan anak-anak buahnya agar sentiasa fokus untuk memastikan gawang negara tidak dibolosi dengan mudah.

“Memang kita tahu pendekatan mereka (Jordan) agak berbeza dengan kehadiran jurulatih baharu. Kita juga tahu dari segi teknik dan fizikal, Jordan ada kelebihan.

“Sudah tentu setiap kali kalau jumpa pasukan yang berada pada level yang lebih tinggi, kita kena bersedia daripada serangan pantas mereka. Barisan pemain terutamanya di benteng pertahanan kena sentiasa alert.

“Kita juga tidak akan bertahan selama 90 minit dan tetap kena menyerang. Kita kena bermain seperti mana yang kita main sebelum ini. Bermain menyerang sebagai satu pasukan dan bertahan juga sebagai satu pasukan.

“Saya tidak mahu letakkan tekanan kepada pemain, namun dalam masa sama mengharapkan keputusan positif dapat dicapai,” katanya kepada pemberita dalam sidang media secara maya pada Selasa.

Berdasarkan rekod pertemuan antara Malaysia dan Jordan sejak 20 tahun lalu, Harimau Malaya hanya mampu seri sekali dalam tiga aksi persahabatan yang diadakan iaitu pada 2009 dengan selebihnya tewas tipis 0-1 pada 2002 dan 2019.

Malaysia yang kini menduduki ranking ke-154 dunia dalam fasa persiapan untuk menghadapi dua kejohanan utama - Piala Suzuki AFF penghujung tahun ini dan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari depan.

Artikel Berkaitan:

“Untuk game pertama ini bukan senang lawan dengan Jordan kerana mereka berada pada tahap terbaik. Bulan September mereka dah bermain dua perlawanan persahabatan dan memang kita nampak ada perubahan dengan jurulatih baharu dalam skuad tersebut.

“Seperti biasa, apabila bermain dengan pasukan yang level lebih tinggi, kita kena bersedia dengan serangan mereka. Kita kena main seperti mana macam kita main sebelum ini iaitu menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan,” ujar Cheng Hoe.