Solskjaer kagum kekuatan mental Ronaldo

Ronaldo. - foto gettyimages
Ronaldo. - foto gettyimages
A
A
A

PENGENDALI Manchester United Ole Gunnar Solskjaer mengakui kagum dengan kekuatan mental penyerang The Red Devils, Cristiano Ronaldo hingga membantu kemenangan 2-1 ke atas Villareal pada aksi Liga Juara-Juara, pada Khamis.

Menurut Solskjaer, keadaan itu dibuktikan Ronaldo ketika menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan United pada perlawanan berkenaan.

“Itulah Ronaldo; dan dia telah dia lakukan sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak. Dia membuktikan bahawa dia sememangnya memiliki mental yang kuat.

“Biarpun ketinggalan kepada lawan, dia tetap beraksi seperti biasa selain kekal fokus hingga ke wisel penamat bagi menjaringkan gol pada masa kecederaan.

“Dia telah melakukannya banyak kali sebelum ini. Sebagai contoh, ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022 berdepan Ireland pada 2 September, dia telah menjaringkan dua gol pada lewat perlawanan biarpun ketinggalan 0-1 sebelum itu," katanya.

Pada perlawanan berkenaan pemain Villareal, Paco Alcacer mengejutkan tuan rumah pada minit ke-53 sebelum pemain pertahanan Alex Telles menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-60 sebelum Ronaldo meledak jaringan kemenangan pada kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan United kini berada pada kedudukan ketiga Kumpulan F dengan meraih tiga mata hasil satu kemenangan dan tewas sekali setakat ini.

Sementara itu Solskjaer mengakui skuad The Red Devils itu begitu tertekan berikutan kekalahan 1-2 kepada Young Boys pada 15 September lalu sebelum tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris setelah tumpas 0-1 kepada West Ham di Old Trafford pada 23 September dan kemudianya tewas 0-1 kepada Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford pada 25 September.

Artikel Berkaitan:

“Tekanan ini pastinya agak berat untuk dipikul oleh pemain kecuali bagi Ronaldo yang dilihat tetap bersemangat untuk terus mengharungi perlawanan demi perlawanan.

“Dia membuktikan dia seorang pemain yang hebat. Dia juga memiliki sentuhan penyudah yang baik dan sentiasa tenang menantikannya (peluang) muncul sebelum memanfaatkannya sebaik mungkin,” katanya.