Pegawai AADK didakwa membunuh lelaki

Pegawai AADK dituduh di Mahkamah Majistret Yan atas dakwaan menyebabkan kematian seorang lelaki.
Pegawai AADK dituduh di Mahkamah Majistret Yan atas dakwaan menyebabkan kematian seorang lelaki.
A
A
A

YAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) didakwa di Mahkamah Majistret Yan pada Selasa atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, dua bulan lalu.

Tertuduh, Md Ilyas Syahmi Ibnu, 34, yang berasal dari Kamunting, Perak bertugas di AADK Kuala Muda didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian, Zahari Ayub, 24, pada jam 10.40 malam, 18 Julai lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan bangunan Pejabat Penguatkuasaan AADK daerah Kuala Muda di Sungai Petani.

Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang kelihatan tenang mengangguk faham atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohd Farhan Aliff Ahmad dan Khairul Azreem Mamat di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.

Peguam tertuduh, Mohd Shafiq Ahmed Bazari dan Nur Elissa Baharudin memohon agar jaminan dibenarkan atas alasan tertuduh menyara isteri dan tiga anak serta kedua ibu bapa yang sudah berusia.

Tertuduh juga dikatakan menghidap buasir kronik dan perlu mengambil ubat setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Majistret Anis Suraya tidak membenarkan jaminan berikutan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes akan disebut semula pada 20 Oktober 2021 bagi serahan dokumen laporan kimia dan forensik.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kematian seorang lelaki selepas ditahan dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Kedah.