Lelaki maut ditetak depan rumah

Seorang lelaki maut dipercayai akibat dipukul dan ditetak oleh dua lelaki di sebuah rumah di Taman Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek di sini pada Sabtu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Kamarul Azran)
Seorang lelaki maut dipercayai akibat dipukul dan ditetak oleh dua lelaki di sebuah rumah di Taman Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek di sini pada Sabtu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Kamarul Azran)
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki maut dipercayai akibat dipukul dan ditetak oleh dua lelaki di sebuah rumah di Taman Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu bermula apabila isteri mangsa keluar ke hadapan rumah kerana hendak muntah.

"Semasa wanita berusia 37 tahun itu membuka pintu pagar, tiba-tiba datang sebuah kereta merah yang dinaiki empat atau lima lelaki berhenti di depan rumahnya," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Wan Kamarul Azran berkata, dua lelaki kemudian keluar dari kereta merah berkenaan dan salah seorang suspek telah menetak suami pengadu berusia 45 tahun di belakang badan dan kepala.

"Seorang lagi suspek memukul kepala mangsa dengan topi keledar dan melarikan diri dengan kereta," ujarnya.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor ketika tiba di hospital berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan pasukan forensik di lokasi kejadian menemui sebilah parang berhulu merah, helmet serta kesan darah di atas lantai.

"Bertindak atas maklumat, kenderaan yang digunakan suspek iaitu Proton Iswara merah dan Perodua Bezza putih telah ditemui di Ladang Sepang.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan kenderaan dilakukan pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di lokasi kejadian. Kedua-dua kenderaan itu dibawa balik ke balai untuk tindakan lanjut," jelas beliau.

Wan Kamarul Azran sehubungan itu berkata, seramai empat lelaki berusia 25 hingga 33 tahun ditahan di Ladang Sepang pada jam 9.30 pagi Ahad.

"Kita turut merampas empat buah telefon bimbit. Semakan mendapati, tiga daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.