Penumpang cabul pemandu Grab

A
A

PUCHONG - Seorang pemandu Grab wanita dicabul penumpang lelaki bersenjatakan pisau di kawasan gelap berhampiran Kondominium KOI Prima, Taman Mas, Puchong, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 5.36 pagi itu, mangsa terlebih dahulu mengambil penumpang lelaki itu di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Awan Besar di Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, sebelum kejadian berlaku, suspek duduk di bahagian penumpang belakang bertindak mengacukan sebilah pisau pada pinggang kanan mangsa ketika berada di satu kawasan gelap berhampiran kondominium berkenaan.

“Suspek menyuruh mangsa berdiam diri sebelum menekup mulutnya serta mengacu pisau pada bahagian leher.

“Selepas itu, suspek melompat dari tempat duduk belakang ke bahagian penumpang hadapan sebelum mencabul mangsa," katanya.

Azizan berkata, suspek cuba membuka seluar dan mangsa melawan serta lari keluar dari Proton Saga dipandu.

"Suspek kemudian melarikan diri apabila mangsa menjerit meminta tolong dan terdapat sebuah teksi lalu di kawasan itu.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Putra Perdana jam 7.15 pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, polis sedang memburu suspek yang dikenal pasti berusia 20-an.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul," katanya lagi.