Liga e-Sukan akan diperkenal

Syed Saddiq menyaksi pertukaran dokumen perjanjian yang diadakan sempena EPIC 2019.
Syed Saddiq menyaksi pertukaran dokumen perjanjian yang diadakan sempena EPIC 2019.
A
A
A

IPOH - Liga e-Sukan akan diwujudkan bagi mencungkil bakat dalam sukan elektronik bagi mewakili negara pada kejohanan di peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebelum ini memang ada kejohanan dibuat bagi e-Sukan tetapi ia bersifat one-off.

Katanya, dalam tempoh terdekat satu liga akan diadakan bagi memilih atlet yang akan mewakili negara dalam kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) nanti.

"Seperti yang kita sedia maklum, Sukan SEA di Manila, Filipina nanti akan menampilkan e-Sukan sebagai salah satu acara. Terdapat enam permainan yang dipertandingkan dan kita akan mencari atlet untuk kejohanan ini.

"Pemilihan ini akan bermula pada pertengahan bulan ini untuk kita cari 'best of the best' untuk mewakili Malaysia," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Industri Profesional E-Sukan (EPIC) 2019, di Pusat Konvensyen Amanjaya, di sini.

Pada tahun lalu, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina mengumumkan lima permainan e-Sukan yang akan dipertandingkan iaitu Dota 2, Starcraft II, Mobile Legends: Bang Bang, Arena Of Valor dan Tekken 7.

Sementara itu, mengenai EPIC 2019, Syed Saddiq menyambut baik penganjuran yang dibuat oleh Kerajaan Perak itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak kementerian turut dimaklum mengenai beberapa inisiatif kerajaan negeri dalam membangunkan e-Sukan di Perak seperti mewujudkan arena khusus untuk e-Sukan.

"Ini merupakan inisiatif yang dipacu oleh kerajaan negeri yang mana kerajaan persekutuan boleh bantu kita usahakan sebaik mungkin.

"Ia sesuatu yang sangat baik yang diusahakan oleh kerajaan negeri Perak yang akan turut mulakan oleh negeri-negeri lain," katanya.