LTSIP sedia jadi lapangan terbang antarabangsa 2024

Mustapa (tengah) mendengar taklimat mengenai naik taraf LTSIP di Pengkalan Chepa di sini.
Mustapa (tengah) mendengar taklimat mengenai naik taraf LTSIP di Pengkalan Chepa di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang kini dalam proses pembesaran turut bersedia menjadi lapangan terbang antarabangsa selepas siap sepenuhnya 2024 nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lapangan terbang dengan kos RM440 juta itu mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun.

“Sebelum ini pun, kita ada penerbangan luar negara seperti ke Singapura dan Medan, namun disebabkan kurang permintaan, saya difahamkan operasinya terpaksa dihentikan dan laluan berkenaan ditutup.

“Maka untuk kali ini pun kita tiada masalah dan bersedia untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa sekali lagi. Kita juga ada penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu. Alhamdulillah, ia banyak membantu memudahkan pergerakan pelajar dan mereka yang bekerja di sana,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Mustapa melawat tapak pembinaan naik taraf projek LTSIP di Pengkalan Chepa di sini.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan, Datuk Sr Azami Mohd Nor dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Suhaili Ismail.

Mustapa (kiri) dan Azami mendengar taklimat mengenai pembinaan tersebut.
Mustapa (kiri) dan Azami mendengar taklimat mengenai pembinaan tersebut.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, skop utama projek naik taraf adalah melibatkan pembesaran dan naik taraf bangunan terminal sedia ada bagi meningkatkan kapasiti daripada 1.5 juta penumpang setahun (MPPA) kepada empat MPPA mulai tahun 2028.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara yang terlibat dalam naik taraf berkenaan adalah balai ketibaan, balai pelepasan dan terminal.

“Selain itu, tempat parkir kereta pun kita besarkan di mana sebelum ini hanya 300 tapi kini jadi 1,300, penambaikan ini cukup besar. Langkah ini sesuai dengan LTSIP yang menjadi antara lapangan terbang sibuk iaitu melibatkan 25 penerbangan satu hari sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Mustapa turut berharap proses naik taraf berkenaan akan disiapkan sebaik mungkin sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semasa perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, minggu lalu.

“Kita berharap ia dapat disiapkan sebagaimana dijadualkan sebagaimana titah Sultan Muhammad V baru-baru ini. Kita menaruh harapan tinggi dengan komitmen pihak kontraktor yang dipilih memandangkan mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam skop pembinaan ini.

“Antaranya ialah pembinaan lapangan terbang di Qatar, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan banyak lagi. Ini harapan rakyat Kelantan, lama mereka tunggu.

“Covid-19 ini sudah pasti ada kesan kepada sektor penerbangan ini, namun ada laporan mengatakan hujung tahun 2022 baru kita boleh lihat penerbangan ini kembali pulih semula, Insya-ALLAH,” katanya.