Bahasa Melayu bahasa rakyat Malaysia

Bahasa Melayu perlu diperkasa di peringkat pelajar sekolah dan universiti lagi. - Sumber foto: Usim
A
A

BANGSA Melayu adalah antara bangsa termuda di dunia. Kamus Dewan (2006) mendefinisikan Melayu merujuk kepada nama suatu bangsa dan bahasa terutama di Semenanjung Malaysia.

UNESCO (1972) merumuskan bangsa Melayu adalah satu keluarga bangsa yang mempunyai satu keluarga bahasa yang sama bentuk fizikal tubuh badan yang hampir sama, berkulit sawo matang, rambut halus, mempunyai ketinggian sederhana dan penduduk asli di satu kawasan yang sangat besar iaitu dari Madagaskar di pantai timur benua Afrika di Barat hingga ke Pulau Paskah (Easter Islands) di Lautan Pasifik berhampiran dengan Republik Chile di Timur kemudian dari kepulauan Hawaii dan Taiwan di utara hingga ke Pulau New Zealand di Selatan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk iaitu terdiri daripada pelbagai kaum atau bangsa. Terdapat tiga bangsa majoriti di negara kita yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Manakala dalam kepelbagaian bangsa ini pula terdapat lagi kaum-kaum lain seperti Iban, Melanau, Kadazan dan sebagainya.

Semua kaum di Malaysia sejak dahulu lagi telah menggunakan satu bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu. Namun sedarkah kita akan kelunturan penggunaan bahasa Melayu pada era globalisasi ini. Masyarakat kini lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dan 'bahasa rojak'. Di manakah silapnya sehinggakan bahasa Melayu kian dipingirkan oleh masyarakat.

Di Malaysia, penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris dilihat lebih diutamakan berbanding penggunaan bahasa Melayu sebagai medium bahasa utama di negara ini. Walaupun undang-undang telah ada namun penguatkuasaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang utama seperti pendidikan, perniagaan, pengiklanan dan komunikasi masih banyak tidak diendahkan dan kurang diutamakan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.

Seperti semua sedia maklum Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diwujudkan merupakan salah satu platform kerajaan untuk membina dan memperkaya bahasa Melayu dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. Selain itu, DBP juga berperanan besar untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan kepada rakyat-rakyat di sekitar Pantai Timur khususnya.

DBP berperanan untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa pengantar utama adalah lambang jati diri warganegara dan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia.

Bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengunakan dan memartabatkan bahasa Melayu di serantau Malaysia. Sebagai pelajar di sekolah dan menara gading pula, kita seharusnya mengeksploitasikan bahasa Melayu supaya dapat menarik minat mempelajari bahasa Melayu. Rakyat Malaysia juga harus mengeksploitasikan bahasa Melayu di laman-laman internet supaya dapat dipelajari oleh rakyat di seantero dunia.

*Penulis siswa Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.