Lebih 14,000 rumah mampu milik di Perak siap dibina

Nolee Ashilin ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Aznel ketika sidang DUN Perak di Ipoh pada Isnin. - Foto Urusetia Unit Dewan Negeri Perak
Nolee Ashilin ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Aznel ketika sidang DUN Perak di Ipoh pada Isnin. - Foto Urusetia Unit Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Sebanyak 14,004 rumah mampu milik siap dibina dan diduduki di Perak sejak tahun 2018.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 50,000 unit rumah mampu milik yang disasarkan kerajaan negeri untuk dibina dalam tempoh lima tahun.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 15,089 unit masih dalam pembinaan dan 22,085 unit lagi dalam proses perancangan oleh jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri.

"Bagi projek perumahan yang dilaksanakan pemaju swasta pula, merujuk kepada data berkaitan surat sokongan permohonan Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) oleh LPHP bagi tahun 2019 sehingga Julai 2021, sebanyak 1,663 unit Rumah Perakku I iaitu kos rendah.

"Sebanyak 412 unit Rumah Perakku II iaitu kos sederhana; 1,032 unit Rumah Perakku III (mampu milik) dan 1,476 unit rumah dalam kategori Terbuka telah dibina," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, penularan Covid-19 merupakan satu masalah di luar jangkaan yang turut memberi kesan besar terhadap pembangunan perumahan di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tetap berusaha memastikan kesemua pembangunan perumahan dapat dilaksanakan sepertimana telah dirancang.

"Oleh itu, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan meneruskan kesemua projek yang sedang dijalankan di atas tapak-tapak LPHP.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, kerajaan negeri juga akan mengenal pasti tapak-tapak baharu yang sesuai dengan permintaan untuk dibangunkan perumahan," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut mengenal pasti lapan tapak yang sesuai untuk pembangunan Skim Lot Perumahan Perakku dalam kadar segera.

Buat masa ini, katanya, LPHP sedang dalam proses untuk melantik perunding untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dan menyediakan reka bentuk selaras dengan keperluan pihak berkuasa tempatan serta agensi utiliti.