PH pergiat persiapan PRU15 untuk menang mandat rakyat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) akan mempergiat segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon serta strategi untuk memenangi mandat rakyat.

Majlis Presidennya dalam kenyataan berkata, sebagai gabungan politik, PH akan diperkukuh di bawah kepimpinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Majlis Presiden PH telah mengadakan mesyuarat hari ini (Isnin) dan membincangkan isu politik dan keadaan semasa tanah air.

“Isu penularan wabak Covid-19 terus merisaukan dengan jumlah kes baharu dan angka kematian harian yang tinggi, di samping usaha pemberian vaksin yang perlu dipertingkat.

“PH turut risau akan masalah ekonomi semasa, termasuk isu pengangguran, pendapatan yang berkurangan, sektor-sektor yang amat terkesan dan perancangan kerajaan untuk menghidupkan semula ekonomi,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, mereka berkata, untuk menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang, PH mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘khemah besar’ berdasarkan agenda reformasi dan kepentingan rakyat.

Menurut mereka, usaha menggembleng tenaga menerusi kaedah itu dalam kalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya akan merugikan negara.

Artikel Berkaitan:

“PH akan meneruskan tugas di Parlimen sebagai pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab, sesuai dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa eksekutif terus dilaksana.

“Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi segera diatasi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat Malaysia,” ujar mereka.

Selain itu, Majlis Presiden PH menjunjung kasih ke atas titah perkenan Yang di Pertuan Agong untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang telah dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Terima kasih diberikan kepada kesemua 105 ahli Parlimen pembangkang yang mencalonkan Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim tempoh hari tanpa kira parti dan perbezaan pandangan politik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.