Cuaca panas: Sekolah digalak henti aktiviti luar

Dr Maszlee melancarkan Kelab UNESCO dan Model United Nation (MUN) sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah Seri Puteri hari ini. - Foto Bernama
Dr Maszlee melancarkan Kelab UNESCO dan Model United Nation (MUN) sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah Seri Puteri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Kementerian Pendidikan meminta pihak sekolah agar menghentikan sementara semua aktiviti luar kelas memandangkan cuaca panas pada masa sekarang, kata Menterinya, Dr Maszlee Malik hari ini.

Beliau berkata, surat peringatan sudah dikeluarkan kepada semua sekolah pada pertengahan bulan Februari lepas.

Beliau difahamkan kebanyakan sekolah yang sepatutnya mengadakan acara sukan tahunan bermula minggu hadapan telah ditangguhkan.

“Kalau waktu panas, kementerian tidak menggalakkan aktiviti luar dan perlu dikurangkan. Selain itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak banyak meminum air dan menjaga kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kelab UNESCO dan Model United Nations (MUN) di Sekolah Seri Puteri di sini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga akhir Mac ini.

Setakat ini, Maszlee mengesahkan belum ada kes berkaitan strok haba melibatkan pelajar di negara ini. Dalam perkembangan berhubung keadaan pelajar Malaysia susulan ketegangan India-Pakistan, Maszlee berkata, pihaknya meminta penuntut menghubungi pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad.

“Kita sudah dapat perincian terkini dan setakat ini, penuntut kita akan sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan. Sekiranya ada apa-apa perkara berlaku, kita ada prosedur operasi standard (SOP) sendiri.

"Justeru, kita berharap mereka berhubung dengan pihak kedutaan dan terima arahan diberikan sebab saya yakin, bagi pihak Kementerian Luar dan kedutaan ada SOP berkaitan situasi seperti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Maszlee semalam dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung situasi pelajar Malaysia di India dan Pakistan. - Bernama