Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Isnin susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi.
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Isnin susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi.
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi dan langkah ini sedikit sebanyak mengimbangi perkembangan terkini politik negara, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan berada pada 4.2350/2390 berbanding dolar AS ketika ditutup 4.2365/2385 pada Jumaat.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi pada Isnin membantu mengurangkan penurunan ringgit.

“Kelonggaran sekatan pergerakan kepada individu yang telah divaksinasi sepenuhnya membantu mengurangkan tekanan pada ringgit, yang disebabkan oleh situasi terkini politik tempatan,” katanya.

Pada Ahad, kerajaan mengumumkan 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi semula di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa pada Isnin.

“Mengenai perkembangan terkini politik, berkemungkinan para peniaga kekal tidak memasuki pasaran sehingga perdana menteri baharu dilantik,” kata Adam.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1227/1259 daripada 3.1187/1207, dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.8732/8769 daripada 3.8409/8427 pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan juga turun berbanding euro kepada 4.9893/9940 daripada 4.9775/9798 dan merosot berbanding pound British kepada 5.8680/8736 daripada 5.8476/8504 sebelumnya. - Bernama