Optimis Perak FC kekal status Liga Super

Penyokong Bola Sepak Perak yakin Perak FC kekal di Liga Super musim depan. FOTO: FB Perak FC
Penyokong Bola Sepak Perak yakin Perak FC kekal di Liga Super musim depan. FOTO: FB Perak FC
A
A
A

PENYOKONG Perak FC tetap percaya The Bos Gaurus itu masih mempunyai harapan untuk mengekalkan status Liga Super musim depan walaupun pada ketika ini bergelut untuk menyisihkan diri dari zon penyingkiran.

Menurut Presiden Gabungan Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak (Perak TBG FC MOBS), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi, pihaknya percaya skuad Kejor Yob Kejor itu mampu berbuat demikian berdasarkan kepada aksi yang dipersembahkan pemain ketika berdepan UiTM FC, minggu lalu.

Katanya, skuad Seladang menunjukkan peningkatan khususnya dari segi teknikal biarpun tewas 0-2 pada perlawanan berkenaan.

“Jika dilihat perlawanan yang lepas (UiTM FC, Perak FC), ada beberapa perubahan yang boleh dilihat khususnya daripada segi teknikal permain.

“Perak TBG FC MOBS yakin Perak FC yang kini dikendalikan Shahril NIzam Khalil selain kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, (cikgu) Azman Noh bagi mengharungi baki empat perlawanan akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Perak FC kini berada pada kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan 13 mata daripada 18 perlawanan.

Sementara itu, Syamsul Baharin menegaskan pengurusan Perak FC di bawah kendalian CEO baharu, dilihat jauh lebih terbuka berbanding sebelum ini.

Malah katanya, pihak pengurusan juga dilihat boleh menerima pandangan dalam membantu memperbaiki prestasi pasukan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Bagi kami, pengurusan pasukan di bawah Cikgu Azman (Noh), lebih terbuka selain turut menerima pandangan daripada orang lain seperti peminat, penyokong serta bekas pemain.

“Oleh itu, kepada penyokong, teruskanlah memberikan sokongan dan semangat kepada pemain serta pengurusan dalam mengharungi baki empat perlawanan kali ini,” katanya.