Ambil semangat Malaysia Prihatin perangi Covid-19

Aminuddin ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan pada Khamis.
Aminuddin ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Masyarakat di Negeri Sembilan perlu bersama-sama berusaha untuk menang dalam memerangi wabak Covid-19 dengan mengambil semangat Malaysia Prihatin.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, usaha itu juga diharap dapat memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat.

Menurut beliau, ia selaras dengan semangat Malaysia Prihatin seperti tema Hari Kebangsaan tahun ini yang menyeru rakyat pebagai kaum bersama memerangi pandemik Covid-19.

"Malaysia Prihatin perlu kita sematkan dalam ingatan untuk mengukuhkan kembali asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat di negeri ini. Marilah kita melakukannya bersama-sama dengan keazaman dan usaha yang bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan di sini secara dalam talian pada Khamis.

Tambah beliau, dalam usaha menyemarakkan lagi semangat patriotik, Aminuddin menyeru semua jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini untuk menggalakkan penyertaan aktif semua lapisan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.

"Saya difahamkan Jabatan Penerangan sedang menganjurkan beberapa program seperti Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Merdeka@Komuniti, Pertandingan Pidato Kenegaraan dan Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka yang dilaksanakan secara maya bertujuan menyemarakkan semangat patriotik masyarakat di negeri ini," katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai merayakan sambutan bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, bangunan-bangunan pejabat, gedung perniagaan serta kenderaan sebagai tanda cinta kepada negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Sejak Merdeka lagi, amalan mengibarkan Jalur Gemilang seharusnya sudah dibudayakan dalam kehidupan seharian dan masyarakat dengan rela hati mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang tahun tanpa perlu menunggu program sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

"Apabila kesedaran ini sudah ada dalam diri setiap individu bermakna kita berjaya menjiwai kemerdekaan negara ini," katanya.