UMNO Selangor sokong keputusan parti, tolak PN

Noh (tiga dari kanan) pada Program Puteri UMNO Prihatin di IPP Tanjong Karang pada Ahad.
Noh (tiga dari kanan) pada Program Puteri UMNO Prihatin di IPP Tanjong Karang pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - [DIKEMASKINI] UMNO Selangor menyokong pendirian penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO atas pendirian parti itu untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, keputusan majoriti itu juga menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan, pendirian UMNO Selangor itu bukan keputusan beliau bersendirian, sebaliknya terlebih dahulu melakukan perbincangan dengan semua ketua bahagian dan semua ketua sayap parti itu di negeri ini.

"Saya telahpun bertanya dengan semua pemimpin ini di dalam grup WhatsApp UMNO Selangor mengenai pendirian negeri Selangor berkaitan keputusan MKT supaya ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepada kerajaan PN dan perdana menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Puteri UMNO Prihatin di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini pada Ahad.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, hasil daripada maklum balas dalam kumpulan WhatsApp itu mendapati majoriti mereka menyokong keputusan dibuat parti itu.

"Secara kebetulan di Selangor ini, saya seorang sahaja ahli Parlimen dan mungkin sebab itu mereka serahkan saya untuk membuat keputusan dan Alhamdulillah kita di Selangor mempunyai suara sama," katanya.

Katanya, situasi dan pendirian sama juga berlaku di peringkat UMNO Bahagian Tanjong Karang.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum saya membuat keputusan, saya membuat tinjauan terlebih dahulu dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian Tanjong Karang yang turut sama membuat keputusan meminta saya tarik diri daripada menyokong PN," katanya.