PRK Semenyih: Calon atau parti?

Dari kiri: Nik Aziz Afiq Abdul, Kuan Chee Heng, Muhammad Aiman Zainali dan Zakaria Hanafi.
Dari kiri: Nik Aziz Afiq Abdul, Kuan Chee Heng, Muhammad Aiman Zainali dan Zakaria Hanafi.
A
A
A

SEORANG Sarjana Barat Philip Kotler (1975) berkata: “Kempen politik semakin banyak dibandingkan dengan kempen pemasaran di mana calon meletakkan dirinya di “pasar undi” dan menggunakan teknik pemasaran moden. Penyelidikan pemasaran dan iklan komersial digunakan untuk memaksimumkan “pembelian” pemilih. Calon yang ingin memenangi pilihan raya tidak dapat mengelak daripada memasarkan diri mereka sendiri. Satu-satunya soalan ialah bagaimana untuk melakukannya dengan berkesan dan bertanggungjawab”.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bakal menyaksikan saingan empat penjuru. Muhammad Aiman Zainali, 33 dari Pakatan Harapan dan Nik Aziz Afiq Abdul 25, dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). Calon untuk Barisan Nasional ialah Zakaria Hanafi, 58, dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56.

Yang menariknya, kemunculan dua calon muda pada PRK kali ini. Sememangnya golongan muda pasti akan memberi sokongan padu kepada wakil rakyat yang muda dan segar. Wakil rakyat yang muda pastinya mengetahui permasalahan dan kehendak golongan muda. Namun demikian, persembahan calon di khalayak ramai perlulah diambil kira.

Cara berkomunikasi dan kemesraan yang tulen mestilah menjadi pakaian kepada calon muda ini. Pengundi akan menilai secara total. Wakil rakyat yang berkualiti akan mewakili semua peringkat umur, tanpa mengira bangsa, pendidikan dan warna kulit.

Mereka perlu membiasakan diri dengan pelbagai kerenah para pengundi. Penyelesaian dan tindakan mesti pantas dan berhemah. Keperibadian dan kualiti calon muda ini semestinya menjadi aset terpenting dalam dunia pemasaran politik.

Bagi calon BN Zakaria Hanafi dan calon Bebas Kuan Chee Heng, kemunculan mereka tidaklah begitu mengecewakan. Semestinya calon BN yang kaya dengan pengalaman mempunyai senjata tersendiri untuk memenangi hati pengundi. Selepas penolakan pengundi ke atas calon PH di PRK Cameroon Highlands, calon BN dilihat mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Senario Pilihan Raya Umum ke-14 adalah cukup berbeza. Jika dilihat penerimaan pengundi kepada calon BN sewaktu berkempen, tidaklah mengecewakan. Bagi pejuang masyarakat marhaen Kuan Chee Heng, beliau dilihat agak sukar untuk membentuk kumpulan penyokong. Berbekalkan dengan jasa yang ditaburkan, Uncle Kentang memerlukan sedikit masa dan pengorbanan untuk beliau terus aktif dalam dunia politik.

PRK Semenyih bolehlah dikatakan, pertandingan di antara PH dan BN. Bagi PSM dan Calon Bebas, mereka perlu bergerak lebih aktif untuk membentuk persepsi dalam kalangan pengundi. Pada dasarnya, PH yang merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat sebagai gabungan yang mantap.

Artikel Berkaitan:

Sebagai mewakili kerajaan yang memerintah, PH telah mengemukakan beberapa dasar kerajaan untuk dipersembahkan kepada rakyat. Antaranya ialah i-SURI Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan langkah penstabilan harga minyak bagi mengawal harga jualan bahan api petrol dan diesel.

Namun demikian, keluhan rakyat mengenai kenaikan kos barangan, masih menemui jalan buntu. Pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) juga dilihat kurang memberi impak kepada masalah ini. PH juga dilihat gagal dalam menangani beberapa isu yang melibatkan agama dan kaum. Justeru, tindakan dan kecekapan “pak menteri” untuk menilai sesuatu isu perlu dipandang serius. Pertelingkahan sesama menteri adalah gambaran kepada kelemahan sistem penyampaian dalam kalangan ahli Kabinet.

Bagi BN, yang mempunyai pengalaman luas dalam hal pentadbiran kerajaan, melihat karenah birokrasi kerajaan PH sebagai kelebihan kepada mereka. Semua dasar kerajaan, hal ehwal dalam dan luar negara telah menjadi “rutin kehidupan” bagi BN suatu ketika dahulu.

Namun demikian, di sebalik kelebihan yang dimiliki oleh BN, UMNO yang menjadi “Parti Teras” dalam BN, dilihat sedikit tempang. BN telah kehilangan enam Ahli Parlimen yang menyertai PPBM.

Dikhabarkan juga, BN bakal kehilangan beberapa orang lagi Ahli Parlimen. Kepimpinan barisan UMNO juga mengalami kerosakan yang teruk. Pemangku Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan mempunyai tugas dan peranan yang amat berat. Beliau perlu menyatukan semua ahli selepas pemilihan pucuk pimpinan tertinggi tempoh hari.

Tanggungjawab ini perlu dilakukan dengan kadar segera. Begitu juga dengan cerita “Persahabatan UMNO dan Pas”. Beliau sebaiknya menerangkan dengan panjang lebar kelebihan dan kekurangan ikatan persahabatan itu kepada ahli UMNO dan pimpinan tertinggi parti komponen di dalam BN.

Akhirnya, jumlah pengundi berdaftar bagi PRK DUN N24 Semenyih adalah sebanyak 54,503 pengundi. Pengundi Melayu merupakan yang terbesar iaitu 36,857 pengundi (69.2 peratus), Cina 8,939 (16.8 peratus) dan India 7,062 (13.3 peratus).

Berdasarkan kepada angka di atas, pengundi Melayu mampu menentukan keputusan PRK Semenyih. Kepada yang layak, Jom Turun Mengundi, pilihan di tangan anda.

* Penulis pemilik Ijazah Sarjana Muda Sains Politik USM, kini bertugas di Centre for Foundations Studies UIAM Kuantan