Kelly Tan pamer persembahan baik, perbaiki kedudukan hari terakhir

Pemain golf wanita utama negara, Kelly Tan
Pemain golf wanita utama negara, Kelly Tan
A
A
A

PEMAIN golf wanita negara, Kelly Tan mempamerkan persembahan baik untuk menduduki tempat ke-34 pada hari terakhir kempennya di Olimpik Tokyo di sini pada Sabtu.

Keputusan itu bermakna Kelly berjaya membaiki rekod dalam penampilan kedua beliau Sukan Olimpik, selepas menduduki tempat ke-51 di Rio 2016.

Pemain golf berumur 27 tahun itu menamatkan pusingan akhirnya dalam acara individu wanita yang berlangsung di Kasumigaseki Country Club, Saitama, dengan menaiki 14 anak tangga daripada kedudukan semalam, untuk berkongsi kedudukan di tempat ke-34 dengan Min Lee dari Chinese Taipei, Celine Boutier dari Perancis dan Pia Babnik dari Slovakia.

Keempat-empat pemain itu membuat pukulan dua bawah par 282 sepanjang empat hari pertandingan.

Kelly bermula dengan satu bogey di lubang ke tujuh, tujuh birdie dalam 11 lubang terakhirnya untuk mencatatkan persembahan terbaiknya setakat ini, selepas siri prestasi di bawah par sepanjang tiga hari pertama.

Sementara itu Kelly berkata, beliau puas hati dengan keseluruhan persembahannya di Olimpik Tokyo ini terutama selepas persembahan yang agak perlahan di peringkat awalnya.

"Saya rasa perembahan agak baik hari ini, sudah tentu saya sampai ke sini dengan hasrat mendapatkan pingat untuk Malaysia.. tapi keseluruhannya saya rasa gembira dalam beraksi dengan baik, dan ia pasti akan memberikan saya keyakinan yang tinggi selepas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

"Olimpik Tokyo adalah temasya sukan yang pastinya tidak dapat saya lupakan, pastinya saya tidak sabar untuk beraksi di Paris 2024,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Nelly Korda dari Amerika Syarikat merangkul pingat emas selepas membuat pukulan 17 bawah par 267, manakala pemain golf Jepun Mone Inami mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih pingat pertama negara itu dalam acara golf di Sukan Olimpik.

Lydia Ko dari New Zealand merangkul pingat gangsa.

Inami memperoleh pingat perak dalam ‘playoff’ selepas selepas kedua-dua pemain membuat pukulan enam bawah par 65 awal hari ini, dan terikat di tempat kedua dengan jumlah pukulan 16 bawah par 268. - Bernama