Anwar, Wan Azizah beri kerjasama penuh kepada polis

Anwar dan Wan Azizah keluar dari Ibu Pejabat PKR setelah diambil keterangan berkaitan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Isnin. - Foto Sinar Harian / Halim Wahid.
Anwar dan Wan Azizah keluar dari Ibu Pejabat PKR setelah diambil keterangan berkaitan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Isnin. - Foto Sinar Harian / Halim Wahid.
A
A
A

PETALING JAYA - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberikan kerjasama penuh kepada polis ketika diambil keterangan di Ibu Pejabat PKR, di sini pada Sabtu.

Peguamnya, Datuk Sankara Nair berkata, siasatan dipercayai menjurus kepada himpunan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang diadakan di Dataran Merdeka, Isnin lalu.

"Saya difahamkan Anwar dan isteri disiasat Bukit Aman manakala pegawai yang hadir untuk mengambil keterangan daripada IPD Dang Wangi.

"Beliau dan isteri memberi kerjasama sepenuhnya ketika diambil keterangan tadi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat PKR di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Presiden PKR itu bersama isterinya dirakam keterangan oleh pihak polis di Ibu Pejabat PKR di sini pada Sabtu.

Anwar yang tiba kira-kira jam 10.50 pagi tadi terus memasuki pejabatnya sebelum pihak polis tiba di Ibu Pejabat PKR kira-kira jam 11.15 pagi.

Pada Isnin lalu, cubaan ahli Parlimen pembangkang berarak untuk memasuki bangunan Parlimen tidak berjaya setelah disekat oleh pihak polis.

Antara yang hadir dalam perarakan tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Artikel Berkaitan:

Ahli-ahli Parlimen berkenaan mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan jam 9.30 pagi tidak berjaya ekoran sekatan yang dilakukan oleh pihak polis di setiap laluan masuk ke Jalan Parlimen.