X

Kindly register in order to view this article
!

Pemburu harimau pengkhianat negara

Harimau Malaya diancam kepupusan akibat kegiatan pemburuan haram. Gambar kecil: Abdul Kadir
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyifatkan warga tempatan yang terlibat dalam jenayah pemburuan haram Harimau Malaya atau Harimau Belang sebagai pengkhianat negara.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Harimau Malaya atau nama saintifiknya, Panthera tigris jacksonii merupakan lambang keberanian, kekuatan dan kebanggaan negara.

“Ia boleh dilihat pada Jata Negara, logo pasukan bola sepak kebangsaan, simbol kenderaan nasional pertama negara iaitu Proton, perbankan (Maybank) dan banyak lagi.

“Bagi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam trend pengurangan drastik populasi Harimau Malaya ini sama ada pemburu haram, penjual, orang tengah, pengiklan, pembeli dan pemusnah habitat, ingatlah bahawa anda adalah pengkhianat negara dan perompak khazanah paling bernilai di negara ini,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, Harimau Malaya adalah satu-satunya subspesies harimau yang ada di dunia ini yang mendiami Semenanjung Malaysia.

Beliau berpandangan mereka yang terlibat dalam jenayah itu sebagai bersikap tamak dan mahu mendapatkan wang dengan cepat dan pada masa sama secara tidak langsung telah menurunkan bilangan hidupan liar itu di hutan negara ini.

“Anda bertanggungjawab. Perhilitan tidak akan berhenti dalam usaha membanteras penjenayah hidupan liar ini.

“Ia menjadi satu amaran yang jelas kepada mana-mana individu yang ingin terus menjalankan aktiviti perburuan haram hidupan liar agar dapat menghentikan aktiviti tersebut atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas daripada pihak kerajaan,” tegas beliau.

Jelas Abdul Kadir, negara memerlukan sokongan dan komitmen seluruh rakyat dalam memastikan kelangsungan spesies berkenaan.

“Masyarakat diminta menyalurkan maklumat kepada pihak Perhilitan sekiranya mengesan sebarang kegiatan pemburuan haram,” kata beliau.

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan Abdul Kadir sebagai berkata, jumlah Harimau Malaya yang direkodkan di hutan negara ini kurang daripada 200 ekor dan ia mencatatkan penyusutan yang ketara.

Tambah beliau, tidak dinafikan terdapat pembabitan warga tempatan yang terdiri daripada kumpulan pemberi maklumat serta pemburu haram dalam kegiatan memburu spesies tersebut.

Pada 29 Julai setiap tahun, Hari Harimau Sedunia disambut untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penurunan populasi harimau bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!