Edar dadah: Penjual daging terselamat hukuman gantung

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penjual daging di pasar awam pada Jumaat terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 59,708.4 gram tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sahul Hamid Mohd, 44, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah itu.

"Setelah menilai kes pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki dadah yang dirampas dan kereta yang mengandungi dadah berkenaan, maka tidak timbul isu pengedaran dadah," katanya.

Menurutnya sembilan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan, namun terdapat percanggahan daripada dua keterangan saksi mengenai tarikh gambar barang rampasan yang diambil sehingga menimbulkan keraguan.

"Mengikut keterangan saksi juga, tiada cap jari tertuduh yang ditemui dalam kereta mahupun di guni daun kanabis yang dirampas," katanya.

Mengikut pertuduhan, Sahul Hamid didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 59,708.4 gram di kawasan parkir kereta Pasa Raya Tesco Extra Sembilang, di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah pada jam 3.15 petang, 8 Januari 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, manakala tertuduh diwakili peguam S. Rethinakumar dan T. Tamilsalvan.

Sahul Hamid yang berbaju T putih dan seluar jeans kelihatan sebak dan memeluk ahli keluarganya selepas keputusan mahkamah. - Bernama