Gassama, Zafuan tidak sertai Kelantan Utd ke Larkin

Status dimuatnaik Kelantan United FC di laman media sosial mereka pada Khamis.
Status dimuatnaik Kelantan United FC di laman media sosial mereka pada Khamis.
A
A
A

DUA pemain Kelantan United FC, Gassama Alfusainey dan Zafuan Azeman tidak akan menyertai skuad kendalian Nazrulerwan Makmor bagi aksi Liga Premier menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin pada Ahad ini.

Menurut jurucakap Kijang Hijau tersebut, tindakan itu diambil selepas kedua-dua permain berkenaan terbabit dalam insiden pergaduhan sesama sendiri sejurus selepas aksi berdepan Perak FC II di Stadium Perak pada Rabu.

"Kelantan United Football Club mengambil serius insiden pergaduhan Gassama Alfusainey dan Zafuan Azeman sebaik sahaja perlawanan menentang Perak II berakhir.

"Insiden itu menyebabkan Gassama dilayangkan kad merah. Pihak kelab juga turut mengambil maklum berkenaan kad merah yang dilayangkan kepada pemain gantian, Asraff Alifuddin.

"Kelantan United Football Club tidak akan berkompromi sama sekali berkaitan disiplin jurulatih, pegawai atau pemain dengan membelakangi semangat kesukanan.

"Kami akan menyiasat dengan segera dua insiden berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas jika pemain yang terlibat didapati melanggar prinsip Fair Play," kata KUFC dalam kenyataan di Facebook kelab tersebut pada Khamis.

Justeru insiden tersebut, Kelantan United Football Club mengambil tindakan drastik menghantar pulang dua pemain terbabit ke Kota Bharu selepas perlawanan di Ipoh berkenaan.

"Oleh kerana kelab kini sedang memberi fokus kepada perlawanan ketiga dalam masa tujuh hari di laman lawan menentang JDT II, siasatan penuh insiden dan tindakan terhadap pemain bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku lagi pada masa akan datang seterusnya memburukkan nama Kelantan United FC akan dilakukan sekembalinya ke Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

"Kelantan United Football Club memohon maaf atas tindakan tidak profesional pemain sehingga menerbitkan rasa tidak gembira penyokong dan peminat bola sepak Kelantan. Pihak kami berjanji akan menangani insiden ini dengan langkah terbaik untuk mengelakkan dari berlaku lagi di masa hadapan," kata kenyataan tersebut.