Dua penunggang motosikal ditahan

Anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas motosikal yang ditahan pada Ops Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pekan-Kuantan di sini bermula pada tengah malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.- Foto FB Polis Daerah Pekan
Anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas motosikal yang ditahan pada Ops Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pekan-Kuantan di sini bermula pada tengah malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.- Foto FB Polis Daerah Pekan
A
A
A

PEKAN - Dua penunggang motosikal ditahan selepas didapati menunggang secara berbahaya dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pekan-Kuantan di sini pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kedua-dua mereka yang berusia 20 dan 23 tahun itu juga dikesan menggunakan motosikal jenis Honda EX5 dengan nombor pendaftaran palsu.

Beliau memberitahu, bagi kes pertama, polis menahan lelaki berusia 20 tahun selepas dikesan menunggang secara 'zigzag' sambil menunduk kepala di lokasi berkenaan.

"Berdasarkan pengecaman nombor pendaftaran, anggota polis lelaki menahannya berhampiran sebuah bangunan rumah kedai di Taman Sepekan Jaya," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Mohd Zaidi berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek sebelum ini ditahan atas kesalahan menceroboh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan pernah menerima hukuman kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Bagaimanapun hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya.

Selain itu Mohd Zaidi memaklumkan, seorang lagi penunggang berusia 23 tahun ditahan selepas didapati menggunakan motosikal dengan nombor pendaftaran palsu dan nombor casis meragukan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaidi berkata, suspek yang ditahan dalam ops tersebut di bawa ke balai untuk proses dokumentasi dan hasil semakan mendapati nombor plat yang digunakan didaftarkan atas motosikal jenis lain.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan negatif dadah," katanya.

Tambah beliau, dalam operasi bermula jam 11 malam pada Sabtu hingga awal pagi Ahad itu, sebanyak sembilan saman dikeluarkan membabitkan empat penunggang motosikal.

Menurutnya, dua kes melibatkan tiada insurans, tiada lesen (2), tiada cukai jalan (1), kesalahan nombor plat (3) dan gagal mempamerkan 'P' (1).