Tokyo 2020 tenang menelusuri pandemik Covid-19

Pemain Jepun dan Australia sebelum acara sofbal wanita di Stadium Fukushima Azuma, wilayah yang teruk dilanda malapetaka nuklear selepas gempa bumi pada 2011. - Foto AFP
Pemain Jepun dan Australia sebelum acara sofbal wanita di Stadium Fukushima Azuma, wilayah yang teruk dilanda malapetaka nuklear selepas gempa bumi pada 2011. - Foto AFP
A
A
A

TEMASYA Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula secara tidak rasmi hari ini, dua hari sebelum perasmiannya pada Jumaat ini selepas berhadapan ketidaktentuan dan banyak cabaran di tengah-tengah pandemik Covid-19 global.

Pertandingan bermula dengan acara sofbal wanita di Stadium Fukushima Azuma, wilayah yang teruk dilanda malapetaka nuklear selepas gempa bumi pada 2011.

Selaku tuan rumah dan juara bertahan, Jepun memenangi perlawanan pembukaan dengan selesa, menewaskan Australia 8-1, sementara Amerika Syarikat (AS) menundukkan Itali 2-0 dan Kanada mengalahkan Mexico 4-0.

Kali terakhir sofbal dipertandingkan di Olimpik ialah pada edisi Beijing 2008, dengan Jepun membawa pulang pingat emas sementara AS dan Australia masing-masing memperoleh perak dan gangsa.

Pada perlawanan bola sepak wanita yang bermula petang Rabu, Ellen White menyumbat dua gol pada minit ke-17 dan ke-72 untuk membantu Great Britain menewaskan Chile 2-0 di Sapporo Dome sementara pemenang pingat perak edisi sebelum ini mengalahkan AS 3-0 di Stadium Tokyo dalam perlawanan Kumpulan G.

Cabaran Malaysia di temasya sukan terbesar dunia itu bermula Jumaat ini dalam acara memanah dengan Syaqiera Mashayikh memulakan bidikan busurnya untuk pusingan ranking individu wanita pada jam 9 pagi waktu Jepun (8 pagi waktu Malaysia) diikuti Khairul Annuar Mohamad untuk pusingan ranking individu lelaki 1 tengah hari waktu Jepun (12 tengah hari waktu Malaysia).

Acara pembukaan dijadualkan pada jam 8 malam (7 malam waktu Malaysia) Jumaat ini dengan perbarisan pegawai dan atlet dengan jumlah terhad di dalam Stadium Olimpik yang hampir kosong di tengah-tengah kebimbangan terhadap pandemik Covid-19.

Dengan lebih 11,000 atlet dan pegawai dijangka menyertai Olimpik, penganjur mengesahkan pada Rabu sejumlah 81 kes Covid-19 berkaitan temasya sukan itu disahkan sejak 1 Julai.

Artikel Berkaitan:

Atlet yang disahkan positif perlu menarik diri daripada pertandingan sementara kontak rapat akan diasingkan dan dianalisis sebelum keputusan sama ada boleh bertanding atau tidak dikeluarkan.

Sukan Olimpik yang ditangguhkan selama setahun dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama