Wan Azizah menghadap Sultan Brunei hari ini

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima jambangan bunga sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan Brunei untuk lawatan rasmi selama dua hari hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima jambangan bunga sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan Brunei untuk lawatan rasmi selama dua hari hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei Darussalam) - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan Brunei untuk lawatan rasmi selama dua hari di sini.

Pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia RMF 426 yang dinaiki Wan Azizah, mendarat pukul 10.53 pagi dan beliau diiringi Timbalan Menteri Luar Negeri, Senator Datuk Marzuki Yahya.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri disambut oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Darussalam, Datuk Seri Dr Awang Amin Liew Abdullah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof dan Pesuruhjaya Tinggi Baharu Malaysia ke Brunei Darussalam, Ismail Salam.

Lawatan Wan Azizah ke Brunei Darussalam adalah siri lawatan pengenalan beliau ke negara anggota Asean ini setelah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Mei tahun lepas.

Hari ini, Wan Azizah akan menghadap Sultan Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan disusuli menghadap isteri Sultan Brunei Darussalam, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Beliau kemudian akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam, yang juga menteri bertanggungjawab di Jabatan Pembangunan Masyarakat, Mej Jen (B) Datuk Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Abidin.

Ini diikuti sesi perjumpaan dengan rakyat Malaysia yang tinggal di Brunei Darussalam yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Esok, Wan Azizah akan menghadiri sesi perbincangan meja bulat dengan 40 pemain industri dan wakil perniagaan Brunei Darussalam.

Artikel Berkaitan:

Ini disusuli lawatan ke Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan Brunei Darussalam sebelum menghadap Putera Mahkota Brunei Darussalam, yang juga Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Lawatan Wan Azizah seterusnya ialah ke Pusat Bahagia Brunei, yang juga sebuah pusat dan Kelas jagaan anak kurang upaya, sebelum beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada petang esok. - Bernama