X

Kindly register in order to view this article
!

Lokman Noor Adam dipenjara sebulan hina mahkamah

Lokman Noor Adam dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, atas tuduhan menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, atas tuduhan menghina mahkamah dengan mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas Lokman didapati bersalah atas kesalahan berkenaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula Khamis.

Mahkamah mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menjurus kepada intimidasi dan ancaman.

Semasa prosiding, Lokman yang diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah merayu agar hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, membantah permohonan itu dengan alasan responden tidak mempunyai sebarang keadaan istimewa untuk dibenarkan penangguhan.

Mahkamah kemudian membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan Lokman dikenakan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Thomas, yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi tempoh dua tahun menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum mengambil keputusan meletak jawatan pada 29 Februari 2020, memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Thomas, pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!