Ramai terkesan akibat Covid-19: Prihatin Perlis

A
A
A

Ahmad Ilman mewakili Prihatin Perlis menjelajah ke seluruh negeri menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
Ahmad Ilman mewakili Prihatin Perlis menjelajah ke seluruh negeri menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

KANGAR - Wabak Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu mengakibatkan segenap lapisan masyarakat merasai tempiasnya.

Keadaan kesusahan itu diakui oleh Pengerusi Penggerak Prihati Perlis (Prihatin Perlis), Ahmad Ilman Hatim, yang menjelaskan rakyat di utara tanah air itu juga tidak terkecuali menerima kesan wabak berkenaan.

Ahmad Ilman
Ahmad Ilman

Ujar beliau, biarpun kes jangkitan Covid-19 di Perlis tidak seteruk negeri-negeri lain, namun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara memberi kesan kepada ekonomi setempat dan menjejaskan pendapatan rakyat negeri Indera Kayangan itu.

"Kesan wabak Covid-19 dan siri PKP seumpama rantaian kesan yang turut menjejaskan hampir kebanyakan rakyat di Perlis.

"Biarpun kes Covid-19 tidak serius di negeri ini tapi kesan penutupan sektor ekonomi ketika usaha kerajaan menangani wabak itu melalui PKP turut dirasai masyarakat.

"Ramai yang terjejas pendapatan, rezeki berkurangan, gaji dipotong malah ada yang turut hilang kerja. Jadi ramai yang susah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, Prihatin Perlis berusaha membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19 dengan menghulurkan bantuan serta sumbangan bakul makanan di seluruh negeri.

Prihatin Perlis mendapat kerjasama baik daripada pihak JKM dan JKKK kampung dalam menyusun penyampaian bantuan.
Prihatin Perlis mendapat kerjasama baik daripada pihak JKM dan JKKK kampung dalam menyusun penyampaian bantuan.

Jelas Ahmad Ilman, Prihatin Perlis mendapat sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menggerakkan usaha membantu mereka yang memerlukan.

"Setakat ini sudah lebih 5,000 bakul makanan telah diagihkan kepada keluarga dalam kesusahan dan kami terus komited untuk membantu seramai mungkin.

"Prihatin Perlis bersyukur dan berterima kasih kepada JKM negeri Perlis dan JKKK setempat atas bantuan serta sokongan yang diberikan dalam menjayakan misi kebajikan ini.

"InsyaAllah misi kita adalah membantu sesiapa sahaja yang terkesan dengan wabak Covid-19 ini tanpa mengira garisan sempadan," katanya.

Beliau berkata, Prihatin Perlis dari semasa ke semasa akan terus menjejaki golongan memerlukan di segenap pelosok negeri bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan.

Ahmad Ilman berkata, ia sebahagian daripada usaha kecil NGO pimpinan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan dalam masa sama membantu kerajaan mencapai misi Pelan Pemulihan Negara.