X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO patut bercerai daripada Bersatu

Tengku Razaleigh
A
A

[WAWANCARA] MENGGALAS tanggungjawab sebagai wakil rakyat sejak hampir enam dekad lalu menjadikan nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li, 84, tidak asing lagi dalam arena politik negara.

Selama 60 tahun terlibat dalam dunia politik, Ku Li antara pemimpin UMNO yang disegani ramai dan merupakan ahli paling lama berkhidmat di Parlimen Malaysia.

Veteran UMNO itu ketika tampil dalam program ‘Bersama Ku Li’ anjuran Sinar Harian pada Rabu secara terbuka mengakui UMNO perlu berdiri di atas kaki sendiri tanpa bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengukuhkan kedudukan sebagai parti yang kuat.

Ikuti kupasan lanjut Ku Li berhubung beberapa isu hangat semasa menjadi tetamu program yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

JOHAN: Kalaulah Tengku menjadi perdana menteri pada hari ini, apa keutamaan Tengku untuk menangani isu ekonomi dan pandemik Covid-19?

TENGKU RAZALEIGH: Apa juga kita fikir mesti berkisar di atas kehidupan rakyat. Kehidupan rakyat masa sekarang mereka yang akan mengikuti kita. Itu yang penting.

- Apa pandangan Tengku tentang hashtag #kerajaangagal yang viral sekarang?

Saya tidak terpengaruh tetapi saya dari kawasan pedalaman mewakili Gua Musang dan di situ tak banyak peluang pekerjaan melainkan perladangan dan kerja sambilan. Kalau meniaga pun secara kecil-kecilan. Jadi, saya memang tahu sangat perasaan orang ramai yang menghadapi masalah hidup sekarang.

Gagal itu tepat sekali untuk mendefinisikan keadaan sekarang. Sebab banyak rancangan diperkenalkan kerajaan Perikatan Nasional, tetapi ke mana pergi duit beribu-ribu juta yang diperuntukkan untuk menolong orang yang bekerja di kedai-kedai dan orang yang meniaga kecil-kecilan di tepi jalan? Nampaknya mereka tidak dapat bantuan.

Ramai yang datang berjumpa dengan saya. Hatta polis yang menjaga roadblock pernah datang berjumpa dengan saya, mereka kata elaun yang dijanjikan kepada mereka tak diberi pun. Sekarang barangkali dah dibayar, saya tak tahulah.

- Apakah Tengku rasa kerajaan yang ada sekarang boleh diselamatkan?

Saya rasa kerajaan sekarang ada masalah yang besar. Satunya soal keabsahan. Selagi perdana menteri walaupun dilantik secara sah oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi belum diuji di Parlimen. Seseorang perdana menteri mesti diuji sama ada dia mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen ataupun tidak. Ini kerana ia yang menentukan keabsahan kerajaan itu sendiri.

- Katakan dalam situasi yang agak rumit dan kemudian mereka memerlukan seorang pemimpin baharu. Apakah Tengku percaya bahawa Tengku boleh mengambil alih tugas misalnya sebagai perdana menteri?

Kalau dengar kepada banyak laporan, takut kita nak mencuba. Tetapi kalaulah itu menjadi tanggungjawab, sesiapa sahaja mesti memikulnya demi kepentingan rakyat dan negara.

- Tengku dari awal tak bersetuju cara pengisytiharan darurat ini?

Ya, saya sependapat dengan yang lain-lain kerana saya rasa tidak perlu. Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan patut digunakan hanya keadaan keselamatan terancam, kedudukan ekonomi tergugat dan kebajikan rakyat serta cara hidup rakyat diusik. Kita mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengendalikan ini. Bahkan sepanjang pemerintahan darurat ini diperkenalkan, tak pun sekali undang-undang darurat ini diguna khusus untuk memerangi Covid-19. Kita menggunakan undang-undang yang ada.

- Tengku dalam berpolitik sudah lebih 60 tahun. Pernahkah Tengku merasakan situasi yang sebegini genting?

Tak pernah. Masa saya sekolah dulu kalau ada gangguan kesihatan ialah taun. Satu lagi batuk kering dan demam malaria. Tetapi ini (Covid-19) luar biasa. Ini ujian Tuhan kepada kita. Nak suruh kita insaf barangkali, supaya kita berjaga-jaga dan kena cermat dalam soal hidup kita. Barangkali inilah ujian paling sukar. Kita rasa tapi kita tak dapat melihat. Macam mana kita nak berperang dengan musuh yang tak dapat kita lihat dan boleh dijangkiti pada bila-bila masa sahaja.

- Tengku ada sebutkan bahawa salah satu punca kita tak dapat kawal wabak ini adalah kerana rancangan tidak teratur dan tidak mencapai sasaran sepatutnya. Boleh Tengku terangkan?

Seperti yang saya sebut tadi, soal rancangan nak bantu orang yang bekerja di kedai-kedai supaya syarikat itu menggaji mereka dengan sedikit bantuan daripada kerajaan agar mereka ini tidak dibuang kerja. Ini nampaknya tidak teratur, tidak ada ketentuan. Yang dikatakan perkhidmatan perlu patutnya dikawal, tetapi ada juga perkhidmatan perlu yang tak dibenarkan beroperasi langsung.

Umpama anak-anak sekolah sekarang menggunakan internet untuk belajar secara atas talian. Tetapi ada yang tidak boleh mengikutinya dengan baik disebabkan komputer rosak. Tidak ada kedai-kedai baiki yang buka kerana mereka ini bukan perkhidmatan perlu. Saya rasa benda-benda ini perlu difikir.

Nampaknya pandemik Covid-19 ini telah mendemokrasikan kesusahan, maksudnya semua orang menderita.

Tengku Razaleigh (kanan) dan Johan pada program ‘Bersama Ku Li’ anjuran Sinar Harian Rabu lalu.
Tengku Razaleigh (kanan) dan Johan pada program ‘Bersama Ku Li’ anjuran Sinar Harian Rabu lalu.

- Saya nak minta komen Tengku sedikit tentang mereka yang tinggal di bandar ada yang terjejas terus. Bagaimana pula di Gua Musang?

Saya diberitahu ada keluarga yang makan hanya tiga hari sekali kerana tidak ada wang yang disimpan untuk keadaan darurat seperti sekarang. Ada juga antara mereka menjimatkan wang sebab nak membiayai perbelanjaan anak dan sebagainya, anak-anak yang kecil. Mereka pun tidak pasti bila rezeki nak datang kerana kerjanya memotong getah, kait kelapa sawit dan kerja sambilan kalau ada.

- Apa komen Tengku tentang gerakan netizen yang menggalakkan individu berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan meletakkan bendera putih di hadapan rumah mereka?

Tidak ada undang-undang yang melarang individu menaikkan bendera putih atau sebaliknya. Tafsiran itu terpulang kepada orang. Barangkali dia naikkan bendera putih untuk tarik perhatian orang ramai bahawa dia perlu pertolongan. Jadi, saya rasa tidak ada salahnya dan saya rasa patut kita galak supaya kita dapat tahu orang yang tak dapat bantuan langsung.

- Satu lagi perkara yang dibangkitkan orang ramai ialah mengenai kepercayaan defisit. Nampaknya ada ketidakyakinan rakyat kepada kerajaan. Apa komen Tengku?

Saya nak kritik banyak sangat takut berpolitik pula. Tetapi tidak dapat kita pisahkan daripada masalah sebab kita tengok kerajaan yang ada sekarang dibentuk secara ‘curi’ untuk menggenapkan bilangan supaya sahlah kerajaan yang ada.

Itu pun samar-samar saja ada bilangan yang cukup. Sebenarnya belum diuji. Jadi, oleh kerana pasukan yang mereka bentuk tidaklah mempunyai persefahaman, sekarang ia bercelaru. MKN buat keputusan, orang bawah tidak tahu. Soal SOP pun satu masalah. Kalau kita tanya pekedai, mereka kata tidak seperti itu. Jadi, banyak tafsiran yang berlainan yang menyebabkan celaru dan kelirunya orang ramai. Jadi, kalaulah kita mempunyai kerajaan yang ada pasukan, mandat dan polisi yang sah, saya rasa tidak akan berbangkit hal ini.

- Adakah Tengku pernah melihat pandangan orang atau penghormatan rakyat terhadap orang politik berada pada kedudukan seperti sekarang yang mana orang begitu kecewa, skeptikal atau tidak percaya kepada orang politik?

Bukan setakat orang tidak percaya sahaja (tetapi ada) orang bunuh diri sekarang, putus harapan. Jadi mereka berasa tidak ada tempat mereka boleh bertanya, mendapat penjelasan atau meminta tolong seolah-olah tidak ada harapan untuk masa depan mereka. Itu sebab berlaku kes bunuh diri.

Tan Sri kena fikir bukan mudah untuk orang hendak ambil nyawa (bunuh) ini. Jangan katalah orang Islam, orang Islam ini kita tidak pernah dengar bunuh melainkan ketika peperangan di Timur Tengah dan sebagainya tetapi kita tidak pernah dengar orang Islam menamatkan riwayatnya dengan mengambil nyawa sendiri. Sekarang ini berlaku.

- Tengku, bagaimana Perdana Menteri hendak mengetepikan soal politik dengan majoriti tipis dan ada ancaman undi tidak percaya, jadi beliau kena bertindak sebagai orang politik?

Dari segi perlembagaan, sepatutnya kalau kamu tidak ada sokongan majoriti, kamu patut berhenti, mohon menghadap Yang di-Pertuan Agong dan serah surat meletak jawatan. Itu satu sumbangan yang baik. Kalau kita terus dalam keadaan sekarang, keyakinan orang dalam negara, keyakinan pelabur luar negara tidak dapat ditentukan. Mereka (takut) hendak bawa masuk duit ke sini kerana apabila tukar kepada ringgit, mereka rugi kerana ringgit kita menjunam.

- Selepas 2018, tidak akan ada satu kerajaan yang mungkin mempunyai majoriti dua pertiga atau majoriti yang besar. Itu hakikat yang kita harus terima. Tengku setuju?

Mungkin keadaan sudah berubah dan nampaknya saya perhatikan rakyat lebih sedar akan hak masing-masing dan ini bagus.

Barangkali ini kejayaan kita merdeka, memberi kebebasan kepada rakyat menentukan sikap masing-masing berdasarkan hak mereka. Saya junjung tinggi perubahan macam ini.

Tengku Razaleigh (kanan) dan Johan pada program ‘Bersama Ku Li’ anjuran Sinar Harian Rabu lalu.
Tengku Razaleigh (kanan) dan Johan pada program ‘Bersama Ku Li’ anjuran Sinar Harian Rabu lalu.

- Tengku pada dasarnya hardcore orang UMNO, walaupun Tengku keluar UMNO dulu dan menubuhkan parti Semangat 46 tetapi sebenarnya itu adalah parti yang cuba mengekalkan semangat UMNO lama. Apa istimewanya UMNO?

Saya suka berkawan, suka bekerja berpasukan dan sebagainya. Saya boleh katakan saya menyertai UMNO kerana Tunku Abdul Rahman, Tunku yang minta saya bantu dia di Kelantan. Saya balik selepas saya belajar. Pas berkuasa di sana (Kelantan), UMNO baru kalah, hilang kuasa, jadi dia minta saya tangguh dulu untuk pergi ke England lanjut pelajaran tetapi tumpu di Kelantan, tolong dia.

Jadi mulai dari situ saya terlibat dengan gerakan politik ini. Saya ini juga mempunyai kesedaran, tengok di Kelantan kalau kita keluar dari bandar Kota Bharu, kita tengok rata-rata kemiskinan dan kita tengok rakyat iaitu orang Melayu susah hidup. Walaupun orang kata orang Melayu malas, dia tidak malas, dia tanam padi di tengah panas, maknanya dia rajin.

Jadi saya tertarik dengan usaha ini. Itu sebab apabila saya bertanding pilihan raya saya tidak bertanding di kawasan rumah saya di Kota Bharu, saya pilih bertanding di kawasan pedalaman, masa itu jalan raya tidak ada dan kita hanya berjalan kaki berjumpa rakyat.

Saya hendak rasa kepahitan hidup yang orang kebanyakan, jadi saya cubalah. Saya juga didesak bertanding melawan Dr Mahathir kerana kita marah kepada tindakan untuk menswastakan aset milik kerajaan. Tidak apalah, boleh diswastakan kalau beri manfaat kepada rakyat dan negara tetapi nampaknya condong kepada kapitalis. Tidak semata-mata hendak menolong ikut Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menolong orang ramai.

Ramai dalam UMNO desak saya apabila Tun Musa Hitam tidak sanggup hendak berdepan dengan Dr Mahathir, saya kata okey, saya cubalah. Saya menjadi calon mereka untuk hentikan perkara ini supaya tidak ada penswastaan yang meningkatkan kos kepada orang ramai dan untuk menjamin supaya tidak lari daripada dasar DEB yang Tun Abdul Razak perkenalkan selepas peristiwa berdarah 1969. Jadi itulah tujuannya.

- Adakah selepas Semangat 46 dibubarkan dan Tengku kembali kepada UMNO, Tengku masih percaya kepada Dr Mahathir?

Saya dan Dr Mahathir baik dari segi kawan. Saya kenal dia lebih lama dan saya tidak seteru dan tidak dengki dengan dia, tinggal lagi pandangan dia agak berlainan dengan saya dari segi politik tetapi dari segi berkawan tidak ada masalah.

- Tentang kualiti pemimpin UMNO. Apakah Tengku rasa ia punca utama kekalahan UMNO dan Barisan Nasional pada 2018?

Perpecahan. UMNO berpecah sebelum pilihan raya, banyak pemimpin yang mahukan jawatan kerana itu janji atau jaminan untuk mereka membaiki kehidupan mereka sendiri, mungkin untuk rakyat juga. Ini boleh menjahanamkan parti sebagaimana yang kita alami dalam pilihan raya lepas.

Betullah ada kempen 1MDB dan sebagainya tapi saya tidak rasa itu boleh menjejaskan kita banyak sangat. Saya percaya perpecahan dalam parti yang menyebabkan UMNO tumbang.

Tengoklah di Johor, Perak, Negeri Sembilan (BN tumbang) kerana perpecahan dari dalam.

- Sesetengah pemimpin yang dikatakan menjadi punca kekalahan UMNO pada tahun 2018 itu tapi masih ada kedudukan dan berkuasa. Apa komen Tengku?

Satunya kuasa adalah tidak boleh hendak dipisahkan. Rasa sekali hendak lagi. Tidak ramai yang boleh meninggalkan kuasa begitu sahaja. Macam di Amerika Syarikat itu, Donald Trump sudah kalah sebagai presiden tetapi sekarang tengah bersedia untuk bertanding lagi sekali kerana dia dah berasa menjadi presiden di Rumah Putih itu.

Jadi ini barangkali terjadi di mana-mana sekali pun tetapi saya rasa kita boleh halang benda ini berulang atau berlaku dengan cara mengadakan undang-undang.

Undang-undang yang boleh tidak melayakkan orang yang mati-matian hendak pegang kuasa bukan dengan tujuan hendak membantu negara ataupun rakyat tetapi dengan tujuan hendak membaiki diri dan kepentingan diri ini tidak boleh masuk dalam kamus politik sebenarnya.

- Selepas Perhimpunan Agung (PAU) 2020, Tengku ada buat kenyataan mengatakan bahawa sepatutnya menteri, timbalan menteri dan mereka dalam GLC dari UMNO harus letak jawatan tetapi nampaknya tidak berlaku.

Awal-awal lagi saya tidak bersetuju. Saya tidak setuju UMNO membantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan kerajaan.

Saya sudah beritahu kepada pimpinan UMNO dan bahkan saya sudah beritahu kepada ahli Parlimen tetapi ramai orang yang tidak sependapat dengan saya.

Tetapi saya rasa apabila kita berbuat demikian maka kita sudah turunkan darjat. Kita parti terbesar, parti tertua dalam negara, orang pandang tinggi kepada kita. Kita ini bukan parti lagi, kita ini institusi politik.

Tetapi itu semua hilang daripada pemikiran rakyat apabila kita bersetuju menjadi second feeder. Saya rasa kita patut bercerai (daripada Bersatu) dan itulah kehendak akar umbi sebagaimana yang dikemukakan dalam PAU2020 dan dalam mesyuarat bahagian.

Itu suara yang dijeritkan oleh rakyat kerana mereka rasa sesuatu sudah hilang, sesuatu tidak dapat dicapai. Jadi kalau kita boleh bagi balik keyakinan kepada orang ramai.

Bukan saya pandang rendah kepada Bersatu, Bersatu tidak boleh menyampaikan hasrat rakyat, ia bukan (parti) perjuangan tetapi bermula dengan pemimpin daripada orang yang kena pecat.

- Apakah Tengku rasa UMNO akan kembali mendapat keyakinan rakyat?

Insya-ALLAH boleh Tan Sri tetapi dia kena bercerai dengan Bersatu dan kena dirikan kedudukannya sebagai sebuah parti yang kuat, sebuah parti yang boleh diyakini oleh orang dan tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh buat.

Sudah berapa tahun dari sebelum merdeka, tahun 1955 sampai ke pilihan raya yang lepas kita dapat berdiri atas kaki sendiri, kita tidak perlu kepada sokongan orang lain bukan bererti kita sombong atau megah, tidak.

Maknanya kita ada kekuatan diri kita. Kita boleh bantu orang lain dan kita berharap kita boleh jadi seperti itu lagi.

- Tengku ada sebarang kekesalan masuk dalam politik?

Saya tidak ada kekesalan dalam politik. Adalah tapi buat apa saya hendak kongsi. Saya punya pesanan, kita kena bersabarlah hadapi Covid-19 ini dan kita semua kena bagi kerjasama kerana ini perjuangan, bukan perjuangan kerajaan semata-mata, ini perjuangan kita bersama.

Tuhan hendak uji setiap daripada kita. Kalau kita bersabar dan hadapinya bersama dengan pelbagai ikhtiar yang berkesan, insya-ALLAH kita akan dapat atasinya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!