Sarawak bantu lancarkan agihan BSH - UGGAH

Amar Douglas Uggah Embas
Amar Douglas Uggah Embas
A
A
A

KUCHING - Jabatan Ketua Menteri Sarawak mengeluarkan arahan kepada 11 Residen, 29 Pegawai Daerah (DO) dan tujuh Pejabat Sub Daerah supaya membantu Perbendaharaan Persekutuan dalam mengagihkan baucar serta bayaran tunai RM300 kepada penerima program kebajikan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata arahan untuk membantu penerima yang tidak mempunyai akaun bank di bawah program yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu terkandung dalam sepucuk surat bertarikh 1 Feb 2019 (Rujukan No. (38) JKM/up/900-2/3/7BTW).

Beliau berkata bantuan dan kerjasama pejabat daerah amat mempermudahkan pembayaran tunai BSH kepada penduduk di kawasan luar bandar yang dilaksanakan di 31 lokasi di Sarawak dari 11 Feb hingga 7 Mac.

“Sehubungan itu, tidak benar dakwaan bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan supaya pejabat daerah tidak membantu dalam pengagihan BSH seperti yang dibangkitkan oleh Chong (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memperjelaskan kenyataan Chong, yang juga Pengerusi PH Sarawak semalam, yang mendakwa beberapa pejabat daerah enggan untuk membantu program BSH dalam mendaftarkan penerima yang layak dari Sarawak.

Chong, bagaimanapun berkata, beliau tidak fikir Pegawai Daerah terbabit bertindak sendiri, sebaliknya beliau percaya mereka mendapat arahan daripada kerajaan negeri, melainkan mereka malas atau sememangnya mengambil tindakan sendiri.

Uggah berkata sehingga kini, program berkenaan berjaya meliputi 21 lokasi di Sarawak manakala Pejabat Kewangan Persekutuan mengesahkan bahawa Pejabat Daerah telah menyediakan bantuan serta kerjasama perlu yang membolehkan program itu dilaksanakan dengan lancar.

Beliau berkata sebenarnya pelaksanaan BSH berbeza daripada program BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) sebelum ini, yang mana pejabat daerah terlibat secara langsung manakala BSH dikendalikan oleh Perbendaharaan Persekutuan dan agensinya, dengan penglibatan minimum DO.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukanlah disebabkan apa-apa arahan daripada kerajaan negeri ataupun sikap malas DO untuk membantu,” katanya.- Bernama