Kredit komuniti bertindak sebagai ah long akan ditarik lesen

Zuraida
Zuraida
A
A
A

BATU PAHAT - Syarikat kredit komuniti (KK) yang dikenal pasti bertindak sebagai ‘along’ ketika berurusan dengan masyarakat berdepan dengan tindakan tegas termasuk penarikan lesen operasi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, syarikat KK yang dibenarkan beroperasi bermula 23 Jun lepas, adalah entiti yang sah dari segi undang-undang bagi mengendalikan urusan peminjaman wang dan mempunyai lesen dari kementerian untuk beroperasi.

"(Kita) bukan menggalak hutang tapi sebenarnya keperluan. Rekod kita juga tiada syarikat KK yang setakat ini menyeleweng dari segi operasi mereka.

"Kalau ada laporan yang mereka ini berlagak seperti ‘along’, kita akan tarik lesen mereka. Kita akan berhentikan operasi mereka," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), di sini pada Ahad.

Menjelas lanjut mengenai operasi KK, Zuraida berkata kerajaan mahu melindungi peminjam terutamanya peminjam kecil yang tiada tempat untuk meminjam.

"Kenapa dibenarkan kredit komuniti (KK) beroperasi waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, ini kerana kita mahu melindungi peminjam-peminjam kecil yang kadang hendak pinjam RM300, RM500 untuk buat gerai nasi lemak dan sebagainya, tiada tempat untuk pinjam, hendak pinjam bank memang tidak dapat dan dia tidak layak..jadi ada yang pergi ke ‘along’.

"Bila pergi ke ‘ah long’...ini yang akan membahayakan diri mereka. Jadi mengikut KK, bila meminjam di situ, ada undang-undang di situ, peminjam dilindungi dengan undang-undang...kalau tidak bayar ke, lambat ke...ada undang-undang yang memberikan mereka tempoh dan sebagainya," katanya.

Oleh itu, Zuraida berkata, kerajaan membenarkan operasi KK kerana terdapat permintaan daripada orang ramai yang memerlukan pinjaman, malah ada segelintir peminjam melunaskan pinjaman mereka ketika PKP 1.0 bagi mengelak pinjaman tertunggak.

Artikel Berkaitan:

Sehingga 31 Mei tahun ini, bilangan syarikat KK yang dilesenkan di seluruh negara adalah 4,972 yang mana 3,226 dilesenkan oleh Pendaftar KPKT manakala 1,566 lesen dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan segelintir pihak yang mempertikaikan keputusan kerajaan membenarkan operasi KK.

Mengenai lawatan kerja hari ini, Zuraida secara prinsipnya meluluskan peruntukan RM2 juta kepada MPBP untuk menaik taraf tempat penjaja, infrastruktur pelancongan, tempat berisiko kemalangan dan kawasan banjir. - Bernama