X

Kindly register in order to view this article
!

Enam beranak huni rumah bot usang di Tasik Kenyir

Keadaan rumah bot yang tersadai di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir yang kini dijadikan tempat berteduh enam beranak.
A
A

HULU TERENGGANU - Kesempitan hidup enam sekeluarga yang menghuni sebuah bot usang di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini semakin getir sejak penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun lalu.

Situasi bertambah sukar apabila ketua keluarga, Shamsuddin Khalid, 45, yang sebelum ini mengambil upah sebagai pemandu bot tidak dapat meneruskan mata pencarian berikutan penutupan sektor pelancongan.

Menurut Samsuddin, dia sebelum ini mempunyai sebuah rumah bot dan dua bot fiber, namun ketiga-tiganya tersadai kerana mengalami kerosakan.

Katanya, rumah bot yang dibeli dengan harga RM15,000 sebelum sempat diubah suai kini terpaksa dijadikan tempat tinggal mereka sekeluarga.

"Saya beli rumah bot ini sembilan tahun lalu untuk 'cari makan', tapi tidak kesampaian apabila enjin bot rosak pada Mac tahun lalu. Saya kehabisan duit untuk membaikinya. Bot ini kini tersadai dan tidak dapat disewakan kepada orang ramai.

"Saya pernah menerima bantuan RM5,000 daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk membaiki bot ini, namun masih tidak mencukupi untuk menaik tarafnya kerana ia tiada daya tarikan dan tidak memberikan keselesaan kepada pelanggan.

"Jika sektor pelancongan kembali dibuka, saya belum tentu dapat menggerakkan rumah bot ini kerana terlalu banyak yang perlu diperbaiki dan memerlukan kos yang besar," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini pada Khamis.

Keadaan di dalam rumah bot yang kini dijadikan tempat berteduh buat keluarga Samsuddin bersama isteri serta empat anaknya ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Keadaan di dalam rumah bot yang kini dijadikan tempat berteduh buat keluarga Samsuddin bersama isteri serta empat anaknya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Shamsuddin bersama isterinya, Nor Farhana Yusop, 30, serta empat anak mereka iaitu Nor Nadia Shahira, 11, Nor Syazlina Farahin, 9, Nor Azura Natasya, 7, dan Nor Farhan Iskandar, 8 bulan, sebelum ini menghuni di sebuah rumah rakit berdekatan sejak 12 tahun lalu.

Bagaimanapun, keluarga itu berpindah ke rumah bot berkenaan setelah anak-anak semakin membesar dan rumah rakit yang dihuni tidak mampu lagi menampung mereka sekeluarga.

"Anak-anak dan isteri memang duduk di rumah rakit sebelum ini kerana lebih dekat dengan lokasi saya bekerja sebelum ini. Lagipun lebih mudah untuk saya memantau mereka," katanya.

Menurut Samsuddin, dia pernah memohon Bantuan Sara Hidup (BSH) serta Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kerana buntu memikirkan soal kewangan, bagaimanapun permohonannya itu tidak berjaya.

"Mungkin disebabkan nama saya berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyebabkan permohonan saya untuk mendapatkan bantuan itu tidak diterima.

"Saya juga pernah memohon rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun sehingga kini tiada jawapan," katanya.

Nor Farhana menyediakan nasi goreng sebagai juadah untuk mengalas perut mereka sekeluarga.
Nor Farhana menyediakan nasi goreng sebagai juadah untuk mengalas perut mereka sekeluarga.

Walaupun dihimpit masalah kewangan, Shamsuddin dan isteri tidak mengabaikan pendidikan anak-anak mereka.

Tiga anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Setebu, Kampung Basung yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi itu.

Sementara itu, Nor Farhana berkata, sudah menjadi kelaziman baginya berdepan pelbagai cabaran tinggal di situ.

"Tinggal di sini banyak ancaman seperti ular yang datang mencari makan. Selain itu terdapat juga kera yang sering menyelongkar dapur ketika tiada penghuni di rumah.

"Pernah juga anak-anak terjatuh ke dalam air ketika asyik bermain dan saya terlepas pandang. Mujurlah sempat diselamatkan.

"Saya juga sudah lali berdepan cabaran turun naik tebing tinggi untuk keluar masuk ke kawasan kediaman ini," katanya.

Dalam pada itu, Nor Farhana berkata, anak-anaknya ada menyuarakan keinginan untuk tinggal di kediaman di kawasan darat.

"Anak-anak pernah cakap teringin nak duduk di rumah atas tanah. Setakat ini saya hanya mampu mendengar luahan perasaan anak-anak dan meminta mereka supaya bersabar dahulu.

"Saya harap pandemik Covid-19 ini segera berakhir supaya suami boleh meneruskan mata pencarian untuk menampung kehidupan. Saya berdoa semoga lambat laun ada rezeki untuk tinggal di rumah di atas darat," katanya.

Samsuddin mendukung bayinya, Nor Farhan Iskandar yang kini berusia 8 bulan.
Samsuddin mendukung bayinya, Nor Farhan Iskandar yang kini berusia 8 bulan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!