Nik Omar kongsi aksi di Litar Sepang

Nik Omar meminati sukan terutamanya yang mencabar adrenalin.
A
A

KESIBUKAN melunaskan tanggungjawab dan tugas dalam kerajaan mahupun politik tidak pernah menghalang Nik Omar Nik Abdul Aziz daripada melakukan aktiviti sukan kegemaran.

Bekas calon PH yang bertanding kerusi DUN Chempaka pada PRU lalu itu memberitahu, beliau tidak tertumpu pada satu jenis sukan sebaliknya, gemar mencuba pelbagai bidang sukan terutamanya yang mencabar adrenalin.

Buktinya, pada baru-baru ini figura berusia 54 tahun itu, berpeluang 'beraksi' di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) trek yang selalu digunakan untuk perlumbaan Formula Satu (F1).

"Pengalaman memandu kereta sport di litar pada kelajuan hampir 200 kmj memberikan kepuasan maksimum yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Biarpun gentar pada mulanya, tetapi perasaan itu hilang sebaik sahaja pemanduan dimulakan dan saya berjaya menamatkan tiga pusingan," katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Nik Omar berkongsi gambarnya ketika beraksi di Litar Antarabangsa Sepang.
Nik Omar berkongsi gambarnya ketika beraksi di Litar Antarabangsa Sepang.

Menurut bapa kepada lima cahaya mata itu, selepas ini beliau ingin mencuba sukan berkuda yang disifatkan sebagai sukan simbol kekuatan tentera Islam pada zaman Rasulullah SAW.

"Minat terhadap sukan ini didorong dengan kisah-kisah kegemilangan tentera Islam pada zaman Rasulullah SAW yang bukan sahaja mahir menunggang kuda malah boleh memanah," jelasnya.

Berbicara lanjut, anak kedua daripada 10 adik-beradik itu memberitahu, beliau juga merupakan peminat bola sepak tegar dan pernah mewakili sekolah di peringkat bawah umur 12 tahun.

Menurut bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Kedai Lalat, Kota Bharu, Kelantan tersebut apabila mempunyai kelapangan beliau tidak melepaskan peluang menyaksikan perlawanan bola sepak khususnya Liga Eropah.

"Setakat ini saya tidak mempunyai kelab kegemaran kerana lebih gemar memilih pasukan yang mempamerkan corak permainan terbaik dan berdisiplin," terangnya.