Permintaan eksport durian cecah 1,000 tan sebulan

Durian yang dieksport akan dibekukan sebelum dihantar ke negara-negara mempunyai permintaan tinggi. - Foto MAPC, gambar kecil: Sam
Durian yang dieksport akan dibekukan sebelum dihantar ke negara-negara mempunyai permintaan tinggi. - Foto MAPC, gambar kecil: Sam
A
A
A

BATU KURAU - Lambakan durian seharusnya tidak wajar berlaku kerana negara masih belum dapat memenuhi permintaan eksport buah durian yang mencecah 1,000 tan metrik sebulan.

Presiden Persatuan Pengeksport-pengeksport Durian Malaysia, Sam Tan berkata, bekalan buah durian sedia ada sehingga kini hanya mampu memenuhi kira-kira 300 tan metrik durian sebulan khususnya eksport ke China.

"Selain China, kita turut mengeksport durian ke Hong Kong, Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan Eropah. Tetapi permintaan paling tinggi ketika ini adalah di China kerana jumlah populasi yang ramai.

"Kita sudah tembusi pasaran China lebih sedekad. Ramai penduduk di China mengenali produk durian Malaysia seperti musang king, durian klon dan durian kampung yang jauh lebih baik daripada durian di negara lain," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat FAMA Batu Kurau, di sini pada Isnin.

Jelas Sam, selepas beberapa negara terutama China pulih daripada pandemik Covid-19, permintaan terhadap durian di negara ini meningkat.

Eksport durian melibatkan tiga jenis iaitu dalam bentuk buah asal, ulas dan pes isi durian mengikut jenis serta kualiti durian.

"Bagi varieti seperti musang king, buah asal dan ulas dibekukan sebelum dieksport manakala bagi jenis durian kampung, isi diambil kemudian dibekukan dijadikan pes untuk digunakan sebagai perisa makanan," jelasnya.

Menurut Sam, pihaknya peroleh bekalan buah durian daripada melalui peraih dan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berharap untuk mendapat bekalan terus daripada petani atau agensi.

"Kalau boleh kita tak mahu libatkan orang tengah kerana apabila kilang beli pada harga tinggi, kita boleh beri manfaat kepada petani.

"Kita harap FAMA dan agensi berkaitan boleh beri senarai pekebun untuk kita terus dapatkan bekalan daripada mereka kerana ahli-ahli persatuan memang mahukan banyak bekalan untuk diproses, apatah lagi durian tidak boleh dapat setiap hari, kena tunggu musim," katanya.

Kata Sam, untuk eksport, harga di kilang bagi sekilogram buah premium seperti musang king mencecah RM45 manakala bagi durian kampung pula sekitar RM6 bergantung kepada kualiti.