Polis tahan lelaki bakar tafsir al-Quran

Seorang lelaki disyaki membakar tafsir al-Quran ditahan di Pekan Kuala Nerang, pada Selasa.
Gambar kecil: Nashkah tafsir al-Quran dibakar seorang lelaki kerana berang kekasihnya berubah hati di Pekan Kuala Nerang, pada Isnin.
Seorang lelaki disyaki membakar tafsir al-Quran ditahan di Pekan Kuala Nerang, pada Selasa. Gambar kecil: Nashkah tafsir al-Quran dibakar seorang lelaki kerana berang kekasihnya berubah hati di Pekan Kuala Nerang, pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki disyaki membakar tafsir al-Quran di belakang sebuah tandas awam berhampiran bangunan Tabung Haji di Pekan Kuala Nerang, di sini kerana marah dengan kekasihnya yang berubah hati.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun selepas menerima laporan polis kira-kira jam 12.25 tengah malam daripada orang awam.

Katanya, pengadu mengatakan menerima video daripada rakannya melalui WhatsApp mengenai seorang individu sedang membakar al-Quran dipercayai berlaku bersebelahan tandas awam berhampiran bangunan tersebut.

"Susulan itu, pengadu bersama dua rakannya terus ke lokasi kejadian dan mendapati tiada sesiapa di lokasi tersebut bagaimanapun mereka menemui cebisan al-Quran yang dibakar dan satu kertas siasatan dibuka berdasarkan laporan itu.

"Melalui siasatan awal, kejadian berlaku di sisi belakang sebuah tandas awam di Pekan Kuala Nerang yang berada depan rumah kedai suspek yang disyaki, namun tiada kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran dan terbuka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Kamarul Zaman berkata, bagaimanapun, pihaknya menahan seorang lelaki di Pekan Kuala Nerang dan merampas sisa bakar tafsir al-Quran berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan dan keterangan daripada saksi-saksi terlibat.

"Kita turut merampas dua telefon bimbit, satu pemetik api dan sepasang selipar yang dipercayai digunakan semasa kejadian," katanya.

Menurut beliau, siasatan mendapati motif perbuatan suspek adalah disebabkan perasaan marah dan kecewa dengan kekasihnya yang telah berubah hati.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman memaklumkan, suspek menjelaskan tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti agama dan naskhah tafsir al-Quran yang dibakar adalah hadiah pemberian wanita itu.

"Sehubungan itu, suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut seksyen 435/295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda bagi kesalahan seksyen 435 Kanun Keseksaan manakala hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya bagi kesalahan seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk pada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pendakwaan.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang boleh memecahkan keamanan dan memudaratkan ketenteraman awam.