Wanita mangsa rogol didakwa edar dadah

Wanita berusia 28 tahun (dua dari kanan) dan bekas suami yang berusia 29 tahun (kiri) dikawal ketat polis keluar dari lokap untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Wanita berusia 28 tahun (dua dari kanan) dan bekas suami yang berusia 29 tahun (kiri) dikawal ketat polis keluar dari lokap untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa rogol seorang inspektor polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis pil kuda dan memiliki syabu.

Ibu dua anak berusia 28 tahun itu dituduh bersama bekas suami yang berusia 29 tahun di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar pil kuda atau dadah jenis metamphetamine dalam anggaran berat kasar 61 gram di sebuah rumah di Kampung Bunut Payong di sini pada jam 4.20 petang, 4 Jun lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, mereka hendaklah dihukum mati.

Pada pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki syabu dianggarkan seberat 13.6 gram pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan seksyen berkenaan, pesalah boleh dihukum penjara antara dua hingga lima tahun dan sebat antara tiga hingga sembilan bagi lelaki.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Ogos depan.

Pembantu rumah wanita dan bekas suaminya yang bekerja sebagai buruh itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Kota Bharu di rumah wanita terbabit pada 4 Jun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai polis ditahan, disyaki rogol tahanan wanita

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pegawai penyiasat berpangkat inspektor ditahan bagi membantu siasatan berkait kes rogol terhadap seorang tahanan wanita.

Kejadian didakwa berlaku di pejabat suspek ketika soal siasat berkait kes tangkapan jenayah dadah.