'Bonda sayang semua tanpa syarat'

Dr Muhaya
Dr Muhaya
A
A
A

[DI SEBALIK ISU] HANYA kerana penggunaan ayat ‘biarlah macam bodoh-bodoh sikit jika mahu dapat jodoh’, bukan biasa-biasa kecaman yang terpaksa diterima pakar motivasi, Datuk Profesor Dr Muhaya Mohamad.

Kontroversi itu tercetus selepas satu klip videonya tular baru-baru ini menimbulkan salah faham sebilangan orang khususnya kaum wanita.

Selain diperdebatkan khalayak, ia turut mendapat reaksi balas beberapa figura umum dan selebriti yang dilihat tidak bersetuju dengan kenyataan beliau.

Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, Dr Muhaya menerusi satu kenyataan media pada Khamis telah memohon maaf secara terbuka berhubung kontroversi berkenaan.

Bersama wartawan Sinar Harian, Nan Hidayat Nan Azmie, Dr Muhaya yang mesra dengan panggilan Bonda berkongsi rasa dan isi hati beliau di sebalik isu panas tersebut.

SINAR HARIAN: Boleh Bonda ceritakan semula apa sebenarnya yang berlaku sehingga timbulnya kekecohan ini?

DR MUHAYA: Hantaran klip 56 saat tersebut sebenarnya merupakan petikan daripada siaran langsung yang diterbitkan pada 6 Februari 2021 di Facebook Prof Muhaya Official dan YouTube iaitu Prof Muhaya TV dengan durasi selama 45 minit bertajuk ‘Antara Cinta dan Cita-Cita’. Siaran live itu sebenarnya diadakan bagi menjawab persoalan dan komen-komen daripada pelayar Facebook termasuk wanita yang berada dalam dilema antara mengejar kerjaya, cinta dan keluarga.

Topik menyeluruh 7am club itu telah dikelolakan sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lepas setiap hari bagi memberikan kesan positif kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Ini inisiatif Bonda supaya orang ramai tidak tertekan, reset minda, celik hati dan jangan terkesan dengan suasana sepanjang PKP, sebaliknya melihat diri apabila kita duduk seorang diri di rumah, kita memiliki lebih masa.

Sudah lebih 420 video dengan purata lebih 142,000 jumlah tontonan bagi setiap show pagi juga telah ditonton sejak itu. Jadi secara teknikalnya, itu adalah video lama.

Bagaimanapun, Bonda faham klip yang telah disunting kepada 56 saat itu telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat terutamanya kaum wanita sehingga menimbulkan persoalan, perbalahan dan sangkaan.

Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat.

Bonda juga seorang wanita, isteri, ibu dan nenek yang berkerjaya dan semestinya sentiasa mendukung, mendoakan wanita semua berjaya ke puncak tertinggi, berbahagia dunia akhirat dan mendapat reda ALLAH.

Dr Muhaya
Dr Muhaya

- Beberapa figura umum termasuk pakar dan selebriti seakan-akan tidak bersetuju dengan kenyataan Bonda sebelum ini. Adakah Bonda terkilan dengan situasi itu?

Bonda secara peribadi tidak akan bercakap tentang isu ini. Bonda lebih fokus kepada konsep kehidupan dan Bonda tidak akan sebut nama mana-mana personaliti sebab Bonda tidak terkilan pun. Bonda sangat menghormati pendapat semua orang.

Cara manusia melihat dunia berbeza dan imej diri mereka juga berbeza. Begitu juga cara mereka melihat diri kita dan dunia, memang tidak sama bergantung bagaimana cara dibesarkan, apakah pengalaman semasa persekolahan dan apa yang dilakukan ibu bapa.

Semua pengalaman itu membentuk satu sistem tapisan untuk memproses apa yang berlaku sekali gus memberikan persepsi berbeza. Jadi, Bonda tidak akan komen namun tetap hormat dan belajar serta terima apa saja sebab prinsip Bonda, setiap apa yang manusia buat memang ada niat yang baik.

-Jika diberikan peluang sekali lagi, adakah Bonda akan menukar penggunaan ayat ‘biarlah macam bodoh-bodoh sikit jika mahu dapat jodoh’ kepada sesuatu yang mungkin lebih manis untuk didengar?

Macam inilah, Bonda orang Terengganu, apabila berbual secara santai, kita akan menggunakan bahasa yang biasa digunakan.

Perkataan sebegitu tidak memberikan konotasi yang negatif di Pantai Timur. Jadi, Bonda faham kalau boleh guna perkataan yang lebih baik, mungkin Bonda boleh sebut perkataan yang tawaduk dan merendah hati kerana Bonda sangat yakin timbangan yang paling berat di padang mahsyar ialah akhlak terutamanya tawaduk.

Bonda juga berpegang kepada ayat bahasa Inggeris iaitu ‘humility is the mother of all virtues’ (kerendahan hati adalah ibu segala kebajikan). Sifat rendah diri yang dimiliki Baginda Nabi Muhammad itulah yang memikat hati semua orang. Kita tak payah tunjuk pandai sebab selalunya orang yang benar-benar pandai tidak perlu untuk tunjuk pandai.

- Dalam kenyataan media Bonda tempoh hari, Bonda juga ada menyebut tentang ‘Bonda sayang semua tanpa syarat’. Apakah maksud sebenar Bonda?

Apa yang Bonda maksudkan ialah satu keadaan yang mana kita buat keputusan untuk menjadi orang dengan jiwa yang dipenuhi dengan kasih sayang dan ia bererti kita sayang semua makhluk ciptaan ALLAH.

Sama ada mereka berbuat baik atau tidak kepada kita, kita harus berbuat baik dan sayangi mereka kerana ALLAH, sekali gus untuk disayangi dan dikasihi ALLAH. Bonda berpegang kepada prinsip ‘kalau orang berbuat baik kepada kita itu biasa, kalau buat jahat kepada orang yang buat jahat kepada kita itu dendam manakala kalau kita berbuat jahat kepada orang berbuat baik kepada kita itu pula zalim’.

Jika kita sayang tanpa syarat, kita boleh berbuat baik kepada orang yang tidak berbuat baik kepada kita kerana itu sunnah nabi. Nabi Muhammad SAW merupakan pencinta tanpa syarat yang paling besar, sebab itulah Bonda sangat fokus terhadap cara hidup sebegini kerana kualiti hidup kita bergantung kepada emosi.

Jika kita mengamalkan perkara ini, kita boleh mengatasi semua masalah dan menghilangkan semua kemarahan dan kutukan ibarat air bah yang boleh menghancurkan api kebencian dan juga fitnah. Insya-ALLAH.

Tangkap layar hantaran di Facebook Dr Muhaya pada Khamis.
Tangkap layar hantaran di Facebook Dr Muhaya pada Khamis.

- Apakah projek terkini Bonda yang boleh dikongsikan bersama pembaca Sinar Harian?Projek terkini yang boleh Bonda kongsikan ialah memang niat hidup Bonda untuk mengajak diri dan masyarakat menjadi pencinta tanpa syarat.

Hiduplah dengan jiwa cintakan ALLAH, cintakan orang dan mencintai diri. Apabila kita cintakan ALLAH dan sayangi diri kita, maka kita akan senang menyayangi orang lain serta senang disayangi.

Sebab itu Bonda sedang mengendalikan program latihan terbaharu yang dinamakan Ultra PMC Plus 6.

Ultra itu merupakan singkatan perkataan ‘uzlah’ (menyendiri, bertafakur dan refleksi diri), ‘let go’ (melepaskan apa yang telah berlalu dan meneruskan kehidupan dan tidak memegang apa-apa yang boleh merosakkan jiwa), takwa (pakaian jiwa yang boleh dibawa ke mana-mana untuk berjaya dunia dan akhirat), refleksi diri (melihat cerminan orang lain yang ada dalam diri sendiri) dan juga akhlak yang merupakan faktor asas untuk indeks akhlak yang akan diamalkan untuk diri sendiri, sekolah, negara dan sebagainya.

Jadi sama-samalah termasuk Bonda memperbaiki diri kita dan mengajak orang lain ke arah kebaikan sebab orang yang paling menang ialah orang yang paling tenang. Tidak ada ketenangan kalau tidak ada kasih sayang. Tidak ada juga kasih sayang jika kita tidak mengenal diri dan ALLAH serta mengetahui sebab mengapa kita berada di sini.