Siasatan 'land swap' perlu adil: Hishammuddin

Hishammuddin (tengah) sewaktu Mesyuarat Berkelompok Cawangan dan Sayap-Sayap Umno Bahagian Sembrong
.
Hishammuddin (tengah) sewaktu Mesyuarat Berkelompok Cawangan dan Sayap-Sayap Umno Bahagian Sembrong .
A
A
A

KLUANG - Tindakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu Sabu yang menimbulkan isu berhubung dengan 16 projek urus niaga tukar tanah (land swap) yang bermula sejak tahun 1997 sehingga sekarang hanya sekadar mahu mengalihkan pandangan masyarakat terhadap kegagalan kerajaan menunaikan janji.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau turut mengalu-alukan siasatan terhadap dirinya namun kerajaan juga perlu berlaku adil dengan turut melakukan siasatan sama kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.

"Sebenarnya, perkara seperti ini bukan isu baharu kerana ianya sudah pun digembar-gemburkan sebelum PRU14 lagi dan apa yang menjadi persoalan, kenapa isu ini dibangkitkan semula selepas 10 bulan kerajaan PH memerintah?

"Saya tak akan menghalang siasatan terhadap saya tetapi kerajaan harus mengotakan janji mereka untuk membela nasib veteran dan anggota tentera seperti dijanjikan pada kempen PRU14 dan semua ini tidak boleh diabaikan malah sebagai menteri atau timbalan menteri mereka harus bertanggungjawab melaksanakannya," katanya.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan dan Sayap-Sayap UMNO Bahagian Sembrong di Dewan Komuniti Parlimen Sembrong di Taman Seri Lambak, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak yang membuat laporan ini juga harus menyiasat beberapa transaksi yang dikeluarkan pada masa pemerintahan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat kerana semua perancangan kelulusan pembinaan kem tentera pada waktu itu di bawah tanggungjawab beliau.

Semalam, Hishamuddin melalui portal Facebook miliknya menyatakan tiada apa-apa perkara yang mahu disembunyikan olehnya malah mengalu-alukan siasatan terhadapnya berhubung dakwaan urus niaga tukar tanah (land swap) sehingga menyebabkan Kementah mengalami kerugian sehingga RM500 juta.

Sebelum ini, Mohamad Sabu mendedahkan urus niaga melibatkan Kementah mengakibatkan kerugian lebih RM500 juta dan ianya didedahkan dalam laporan penelitian khas Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan bekas ketua audit negara, Ambrin Bujang.

Artikel Berkaitan:

Kesemua 16 kem yang disebutkan dalam laporan berkenaan adalah termasuk pembinaan sebuah kem tentera yang dibina untuk menempatkan Markas Rejimen ke-33 Artileri atau lebih dikenali sebagai Kem Paloh di Jalan Kluang-Mersing yang juga berada di dalam kawasan Parlimen Sembrong.

Mohamad juga mendakwa, kementeriannya dimaklumkan terdapat campur tangan politik dalam pemilihan beberapa lokasi projek ‘land swap’ bagi tujuan kepentingan politik pihak tertentu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sebahagian projek melangkaui tempoh kontrak yang dipersetujui sebelum ini termasuk kualiti kualiti pembinaan yang tidak memuaskan.