Tolak Streram jadi calon PRK DUN Rantau

Zuljimmykifli (dua, kanan) bersama barisan AJK PKR Cabang Rembau, menunjukkan sokongan kepada Sapian sebagai calon PRK Rantau.
A
A

SEREMBAN - Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya DUN Rantau menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram sebagai calon PRK DUN Rantau.

Pengerusinya, Zuljimmykifli Sahari berkata Streram yang juga Penyelaras DUN Rantau itu bukan anak jati DUN Rantau dan dikhuatiri akan ditolak oleh pengundi tempatan.

Katanya, pucuk pimpinan harus memilih calon tempatan dan anak jati kelahiran DUN Rantau, yang lebih dikenali berbanding calon asal.

"Saya bersama 369 ahli dalam badan tersebut sebulat suara menolak Streram sebagai calon di PRK Rantau, sebaliknya menyatakan sokongan kepada Saparin Musa yang juga merupakan AJK Cabang Rembau.

"Saparin merupakan anak jati DUN Rantau dan telah berkhidmat dalam parti sejak tahun 1998, malah beliau antara perintis penubuhan Parti Keadilan di Kelab Tuanku Mambau, serta kawasan Rantau.

"Jasa beliau dalam parti sangat besar, terutamanya dari segi bantuan kewangan, setiap masa beliau mencurahkan bakti dalam parti dan juga masyarakat demi memastikan PKR terus bangkit, sehingga kita berjaya sampai ke tahap ini sekarang," katanya pada sidang media di Seremban 2.

Hadir sama barisan AJK Bertindak Cabang Rembau, Norafrizal Adnan, Aizul Rizza Nazrin dan Zuzamzurin Hashim dan Haslinda Mohamad Baharuddin.

Tambahnya, pihaknya yakin faktor kemenangan bergantung kepada calon yang bertanding, memandangkan calon UMNO itu dianggap sebagai 'gergasi' sudah pasti calon PH haruslah setanding dengan calon lawan.

Katanya, keutamaan harus diberi kepada anak tempatan dan juga calon pejuang lama, memandangkan situasi politik semasa lebih memandangkan kepada dua faktor ini.

"Kami berharap suara dan pandangan kami ini didengari serta dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan tinggi.

"Bukan kami mahu menentang, sebaliknya hanya sekadar memberi pandangan dan bersuara selari dengan semangat demokrasi negara," katanya.

Bagaimanapun, Zuljimmykifli berkata, sekiranya pucuk pimpinan bertegas untuk memilih Streram, pihaknya akan akur dan tetap menyatakan sokongan, demi satu matlamat untuk menumbangkan UMNO di Rantau.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia