Polis kesan lelaki ketuk cermin, ugut pemandu kereta

PDRM
PDRM
A
A
A

CHERAS - Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai bertindak agresif dengan mengetuk cermin dan mengugut seorang pemandu kereta dalam kejadian berhampiran Menara PGRM pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.25 petang itu, mangsa yang berusia 19 tahun telah ditahan suspek.

"Suspek mendakwa mangsa keluar dari simpang jalan di kawasan tersebut yang nyaris mengakibatkan kemalangan.

"Suspek kemudiannya bertindak mengeluarkan sebatang besi dan mengetuk cermin hadapan kereta mangsa dan meminta mangsa keluar," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Cheras.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Orang ramai agar lebih berhati-hati dan berhemah semasa di jalan raya serta tidak mengambil sebarang tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras, Deputi Superintenden Ahmad Zamri Jai di talian 012-8993622 atau Bilik Gerakan Gerakan IPD Cheras di talian 03-92845050.

Artikel Berkaitan: