'Letak tepi dulu media sosial'

Skuad Harimau Malaya menerima kecaman penyokong tempatan susulan persembahan hambar ditampilkan pemain kebangsaan ketika tumbang di tangan UAE pada aksi Kumpulan G kempen kelayakan di Dubai, Jumaat lepas.
Skuad Harimau Malaya menerima kecaman penyokong tempatan susulan persembahan hambar ditampilkan pemain kebangsaan ketika tumbang di tangan UAE pada aksi Kumpulan G kempen kelayakan di Dubai, Jumaat lepas.
A
A
A

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menasihatkan anak buahnya supaya mengalihkan tumpuan daripada media sosial buat sementara waktu selepas dihujani pelbagai kritikan 'pedas' susulan kekalahan besar 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Saranan itu bagi memastikan mental kesemua pemain skuad Harimau Malaya berada pada tahap terbaik dan bersedia bagi menghadapi saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang kini semakin mencabar selepas kekalahan itu.

Cheng Hoe berkata sebagai pemain bola sepak profesional, setiap tindak-tanduk di dalam mahupun luar padang sentiasa menjadi perhatian dan tidak terlepas daripada kritikan, namun setiap pemain mempunyai pilihan untuk mengabaikan kata-kata negatif dan hanya mengambil yang positif untuk maju ke hadapan.

"Nasihat saya kepada pemain, letak di tepi dulu media sosial, yang penting fokus untuk perlawanan akan datang kerana mungkin kata-kata negatif akan terus menjadikan moral seseorang pemain di tahap tidak baik.

"Jadi sebab itu kita perlu elakkan dan kita perlu fokus dalam keadaan positif tentang apa yang akan berlaku pada perlawanan menentang Vietnam," katanya pada sidang media secara dalam talian sesi latihan skuad kebangsaan di Dubai, pada Ahad.

Skuad Harimau Malaya menerima kecaman penyokong tempatan susulan persembahan hambar ditampilkan pemain kebangsaan ketika tumbang di tangan UAE pada aksi Kumpulan G kempen kelayakan di Dubai, Jumaat lepas.

Penyerang naturalisasi terbaru Guilherme De Paula menjadi sasaran utama rata-rata penyokong yang mengkritik prestasi longlai barisan anak buah Cheng Hoe selepas pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu gagal memperagakan kualiti diharapkan pada aksi di Stadium Zabeel itu.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata suasana kem skuad kebangsaan kembali ceria dengan barisan pemain menunjukkan reaksi positif dalam sesi latihan menjelang pertembungan menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan hanya pemain pertahanan Junior Eldstal tidak dapat mengikuti sesi latihan berpasukan selepas mengalami kecederaan buku lali yang serius pada aksi menentang UAE dan kini pasukan perubatan skuad kebangsaan sedang berusaha memberikan rawatan terbaik.

"Selepas kekalahan kepada UAE memang ramai berpendapat kita perlukan rombakan secara besar-besaran tetapi kita masih ada empat hingga lima hari untuk membuat persiapan. Kita sedang kaji faktor yang menyebabkan kekalahan pasukan, kita masih cari ramuan terbaik untuk hadapi Vietnam," katanya.