UAE tertekan berdepan Harimau Malaya

Brendan (kiri) ketika menjalani sesi latihan bersama pemain Harimau Malaya lain.
Brendan (kiri) ketika menjalani sesi latihan bersama pemain Harimau Malaya lain.
A
A
A

PEMAIN tengah Harimau Malaya, Brendan Gan percaya Emiriah Arab Bersatu (UAE) berada dalam keadaan tertekan untuk berdepan Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jumaat ini.

Menurut Brendan, tindakan UAE memanggil beberapa pemain naturalisasi memperkuatkan barisan pasukan selain beberapa kali memecat jurulatih menunjukkan tuan rumah sedang panik untuk menghadapi aksi kelayakan kali ini.

“Bagi saya, kami tidak berada dalam tekanan. Anda boleh lihat perlawanan terakhir kami menentang mereka dengan kami mendominasi perlawanan. Kami berjaya menekan mereka dalam perlawanan tersebut dengan persembahan yang sangat cemerlang.

“Sebab itu, saya katakan bahawa kami tidak berada dalam tekanan sebaliknya UAE yang sedang panik selepas mereka memecat jurulatih Bert van Marwijk dan kemudian melantik Ivan Jovanovic dan Jorge Luis Pinto. Kemudian pecat Jovanovic dan Pinto dan melantik kembali Van Marwijk. Mereka juga memanggil beberapa pemain untuk memperkuatkan pasukan.

“Saya percaya dengan kemampuan pasukan kami dan setiap pemain ada kualiti individu dan apabila bersama kami akan menjadi sebuah pasukan yang hebat dan mampu bersaing,” katanya dalam sidang media secara maya pada Ahad.

Harimau Malaya menampilkan persembahan penuh bertenaga pada aksi pertama Kumpulan G bertemu UAE pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil walaupun tewas tipis 1-2 kepada pasukan itu.

Harimau Malaya kini berada di kedudukan kedua kumpulan G dengan sembilan mata manakala UAE di tangga keempat dengan enam mata dan kurang satu perlawanan.

Dalam pada itu, Brendan yang tidak dapat diturunkan dalam aksi menentang UAE pada Khamis ini akibat pergantungan perlawanan mengakui sedikit kecewa, namun dia optimis rakan-rakannya akan mampu menghadirkan keputusan yang positif.

Artikel Berkaitan:

“Memang sedikit kecewa kerana saya mahu bermain setiap perlawanan. Apabila saya tidak dapat diturunkan, tugas saya ketika ini adalah memberikan sokongan kepada pemain lain dalam sesi latihan,” katanya.