Kesilapan Harimau Malaya undang padah

Syafiq diasak pemain Bahrain pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bahrain awal pagi tadi.
FOTO: FB FAM
Syafiq diasak pemain Bahrain pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bahrain awal pagi tadi. FOTO: FB FAM
A
A
A

DUA kesilapan mudah menjadi punca utama skuad Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Bahrain pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bahrain awal pagi tadi.

Selepas beraksi baik hampir sepanjang aksi babak pertama, gawang skuad Harimau Malaya yang dikemudi penjaga gol berpengalaman, Mohd Farizal Marlias akhirnya bolos pada minit ke-41.

Gol pembukaan Bahrain itu dihasilkan Mahdi Abduljabbar yang menyempurnakan sepakan penalti selepas tonggak pertahanan, Irfan Zakaria menarik penyerang Manama Club itu dalam kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, Harimau Malaya kembali bangkit mengatur gerakan bagi memburu gol dan hampir menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan, namun tandukan Syafiq Ahmad sekadar melewati palang Bahrain.

Bersambung babak kedua, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memasukkan pemain pertahanan, Junior Eldstal bagi menggantikan Irfan.

Begitupun, Bahrain tampak lebih garang apabila melancarkan beberapa serangan ke kubu Harimau Malaya dengan kemasukan ayam tambatan mereka, Jassir Marhoon.

Hasilnya, Jassir menyumbat gol kedua Bahrain pada minit ke-61 yang berpunca daripada kesilapan Farizal apabila gagal menampan bola dengan baik hantaran ke belakang oleh Liridon Krasniqi.

Bagi memberi nafas baharu di bahagian tengah dan serangan, Cheng Hoe memasukkan Brendan Gan dan Norshahrul Idlan Talaha bagi menggantikan Nor Azam Azih dan Syafiq pada minit ke-64.

Artikel Berkaitan:

Cheng Hoe turut memasukkan tiga serangkai - Akhyar Rashid, Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman Hanapi bagi menggantikan Mohamadou Sumareh, Liridon dan Safawi Rasid dalam tempoh 10 minit terakhir.

Bagaimanapun, Harimau Malaya tampak sukar menembusi gawang Bahrain - pasukan ranking ke-99 dunia yang tampil lebih dominan sepanjang aksi babak kedua.

Pada Isnin lalu, anak-anak buah Cheng Hoe tewas 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan, sekali gus memberi amaran awal betapa masih banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukan mereka sebelum menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu depan.