Singa Utara disingkir dari Liga-M

Kevin Ramalingam
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara memutuskan membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2019 berkuat kuasa serta merta.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dicapai setelah mereka mereka meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pada 18 Februari lalu.

“Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini,” kata Kevin.

Beliau berkata, MFL memberikan bantuan dan ruang secukupnya untuk Perlis mengatasi masalah kewangan mereka sebelum mengambil keputusan menyingkirkan Perlis dari Liga-M bagi mengelakkan kesan lebih buruk kepada pemain dan menjaga imej Liga-M.

Susulan pembatalan Perlis dalam Liga-M, Kevin berkata Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain Perlis selama 30 hari bermula hari ini, walaupun tempoh pendaftaran pemain pertama akan tamat tengah malam ini.

Dalam pada itu, Kevin memaklumkan MFL sedang mengkaji enam lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji, namun mengambil tindakan drastik ke atas Perlis kerana isu melibatkan pasukan berkenaan adalah lebih berat sehingga mendapat perhatian ramai pihak.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL kini sedang menilai kes enam lagi pasukan itu dan akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat,” kata Kevin.

Untuk rekod, Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat Mifa dalam Liga Premier 2019 selepas kelab yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC itu dinaikkan taraf ke Liga Super 2019 susulan penarikan diri Felcra FC.

Pemilihan Perlis dibuat selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka permohonan kepada pasukan berminat dan akhirnya mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, Angkatan Tentera Malaysia dan Perlis daripada Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.

Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudiannya memutuskan untuk memberi peluang kepada Perlis beraksi dalam Liga Premier 2019 berdasarkan beberapa kriteria iaitu kekuatan penyokong, masalah hutang dan perancangan kewangan.

PFA dan MFL membuat perjanjian bersama yang mana mereka diberikan tempoh 60 hari menyelesaikan masalah tunggakan gaji sementara MFL menyekat geran tahunan mereka pada 28 Disember 2018.- Bernama