Perladangan punca pencemaran air di Pantai Timur

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji
Tengku Zulpuri Shah Raja Puji
A
A
A
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu antara penyebab kekotoran air yang dibekalkan kepada pengguna di negeri-negeri pantai timur ialah kegiatan pembalakan dan perladangan.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata berdasarkan tinjauan yang dilakukan kementerian, ladang-ladang terbabit menjalankan aktiviti tanpa mengikut peraturan dan mencemarkan sumber air.

“Jadi loji-loji sedia ada tidak boleh memproses air itu. Ia berada dalam keadaan tertekan... kita proses juga air itu tapi tidak begitu jernih,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang ingin tahu komitmen kerajaan berhubung jaminan kualiti air untuk tujuan domestik di kawasan pedalaman termasuk di Sabah, Sarawak dan pantai timur Semenanjung.

Tengku Zulpuri Shah berkata kementeriannya akan meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri di pantai timur bagi menangani masalah itu.

Sementara itu, bagi memastikan bekalan air berkualiti dan selamat disalurkan ke kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan di bawah Pelan Keselamatan Bekalan Air.
Artikel Berkaitan:


“Pelan ini diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan air dianalisis secara berkala di loji rawatan air serta sistem agihan oleh operator melibatkan parameter fizikal, kimia dan bakteriologi,” katanya.

Beliau berkata ini bagi memastikan bekalan air mematuhi standard kualiti yang ditetapkan menerusi Garis Panduan Mutu Air Minum Kebangsaan. - Bernama