5,000 anggota keselamatan di Perak terima pelindung muka

Saarani mengadakan pertemuan bersama pegawai tertinggi pasukan keselamatan secara maya di pejabat beliau pada Isnin.
Saarani mengadakan pertemuan bersama pegawai tertinggi pasukan keselamatan secara maya di pejabat beliau pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Seramai 5,000 anggota keselamatan yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perak diberikan bantuan pelindung muka dan kelengkapan kebersihan oleh kerajaan negeri.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam satu pertemuan bersama pegawai tertinggi pasukan keselamatan yang diadakan secara maya di pejabat beliau pada Isnin.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, Saarani juga diberikan taklimat ringkas mengenai situasi terkini pelaksanaan PKPD oleh jabatan yang berkenaan.

"Menteri Besar turut menzahirkan penghargaan atas pengorbanan dan semangat setiap warga pasukan keselamatan dalam memikul amanah dan menjadi sandaran masyarakat untuk membendung penularan Covid-19.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri memandang berat keperluan setiap anggota yang bertugas sepanjang PKPD ini mendapat perlindungan secukupnya termasuk dibekalkan pelindung muka dan kelengkapan kebersihan," menurut Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Perak salur RM2.38 juta untuk rakyat terjejas

Dalam kenyataan itu, Saarani turut menyatakan keyakinan kerajaan negeri terhadap kesungguhan kerjasama seluruh pegawai dan anggota pasukan keselamatan dalam mencapai matlamat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang menampakkan trend membimbangkan kebelakangan ini.

Hadir sama dalam pertemuan secara maya itu ialah Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Noor Azam Johari dan Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Perak, Kamarul Idzham Kamal.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Mei, kerajaan negeri mengumumkan RM2.38 juta disalurkan kepada rakyat terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) khususnya golongan B40.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan menjelaskan peruntukan itu juga termasuk RM20,000 kepada semua pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dengan nilai keseluruhan RM1.18 juta.