Polis siasat Neelofa, keluarga berkumpul sambut raya

Polis menyiasat dakwaan Neelofa dan keluarga ingkar SOP menyambut Hari Raya di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Polis menyiasat dakwaan Neelofa dan keluarga ingkar SOP menyambut Hari Raya di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menyiasat selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan keluarganya yang didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP) kerana berkumpul semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, satu laporan polis telah dibuat pada Isnin susulan video yang tular melibatkan keluarga selebriti terbabit.

"Siasatan awal mendapati video tular yang berdurasi selama 26 saat itu dimuat naik melalui akaun Instagram kakak selebriti berkenaan sebelum dikongsi netizen di laman sosial Twitter.

"Video tersebut memaparkan ahli keluarga selebriti tersebut yang didapati berkumpul di sebuah rumah semasa sambutan 1 Syawal," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, kes itu akan disiasat di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

Jelas Anuar, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Wilayah Persekutuan berkuatkuasa 7 hingga 20 Mei 2021 dengan menetapkan bahawa rentas sempadan negeri dan daerah (berdasarkan sempadan daerah ditetapkan kerajaan negeri) adalah tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagaimanapun dibenarkan dan ianya dikira sebagai satu kawasan jangkitan," katanya.

Tambahnya, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular terbabit dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang aktiviti yang bertentangan dengan SOP termasuk penyalahgunaan permit merentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang. Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan" katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, umat Islam tidak dibenarkan kunjung-mengunjung pada Hari Raya Aidilfitri sepanjang PKP.

Sebelum ini, Neelofa pernah mencetuskan kontroversi selepas melanggar SOP dengan merentas negeri ke Pulau Langkawi di Kedah dan Nilai, Negeri Sembilan bersama suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail.