Dunia perlu terus kecam tindakan kejam Israel

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Malaysia digesa untuk memberi tekanan kepada negara berkuasa besar dunia supaya Israel menghentikan kekejaman terhadap rakyat di Palestin.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, isu penjajahan Israel terhadap Palestin bukanlah isu agama semata-mata.

Beliau sebaliknya berkata, ia adalah isu kemanusiaan yang memperlihatkan rakyat Palestin ditindas dengan hebat oleh rejim Zionis.

"Kita mungkin tidak boleh membantu dari segi ketenteraan tetapi dengan sokongan berterusan kepada Palestin dengan memberi tekanan kepada negara-negara kuasa besar dunia.

"Tekanan ini bagi membolehkan negara kuasa besar dunia untuk bertindak ke atas Israel yang terang-terangan sedang bertindak kejam kepada saudara kita di Palestin," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook beliau pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, kerajaan Malaysia secara rasminya telah mengecam tindakan Israel khususnya serangan terhadap orang awam yang sedang beribadah di dalam Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei lalu.

Jelas beliau, konflik antara Palestin dan Zionis Israel telah berlarutan terlalu lama dan semakin hari keadaan di tebing barat semakin meruncing.

"Semoga ALLAH SWT memberikan kemenangan terhadap rakyat Palestin dan melindungi mereka dari kekejaman rejim Zionis Israel," katanya.

Artikel Berkaitan: