X

Kindly register in order to view this article
!

Netizen persoal tindakan Azmin langgar tempoh kuarantin

Hantaran Twitter Azmin berhubung lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendapat kecaman daripada netizen kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kewajipan kuarantin wajib selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.

Perkara itu timbul selepas Azmin didapati memuat naik gambar di Twitter rasminya berkunjung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi menyerahkan sumbangan kepada Kelab Polis IPD Putrajaya.

“Berkunjung ke IPD Putrajaya untuk bertemu Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Superintendan Mohd Fadzil Ali untuk menyerahkan sumbangan kepada Kelab Polis IPD Putrajaya hasil permohonan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Sempat memberikan kata-kata semangat buat para anggota dan petugas barisan hadapan yang cukup gigih menjamin keselamatan dan keteraturan rakyat melalui SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Semoga kita dapat segera melandaikan keluk penularan wabak ini,” katanya menerusi Twitter pada Selasa.

Pada 24 April lalu, kerajaan menetapkan SOP khusus kepada pengembara yang tiba di negara ini termasuk tempoh kuarantin dipanjangkan ke 14 hari bagi mengelak penularan virus SAR-CoV-2 Variant of Concern (VOC) jenis baharu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu menjalani swab sampel bagi ujian pengesanan jangkitan Covid-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas dan dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) di stesen kuarantin.

Bagaimanapun, menteri yang kembali dari lawatan rasmi luar negara diberi pengecualian bagi menjalani pemerhatian hanya selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai berkuat kuasa mulai 9 Februari hingga 1 Ogos depan seperti mana dalam dokumen pewartaan yang disiarkan dalam portal rasmi e-warta Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 hari tempoh kuarantin menteri balik lawatan rasmi luar negara

Sementara itu, salah seorang pengguna Twitter, @SarahZahary meluahkan rasa tidak puas hati apabila dia dikenakan kuarantin selepas pulang dari tempat yang sama.

“Saya minta maaf, tetapi dia baru pulang dari UAE, dan saya baru balik dari UAE. Saya dah dapat vaksin dua dos dan tetap kena kuarantin 14 hari. Tetapi dia berkeliaran,” ujarnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!